Penyerang Nice disifatkan sebagai 'kaki botol, tidak pernah pergi masjid'

NICE (Perancis): Penyerang yang membunuh lebih 80 orang di Nice menggunakan trak meninjau keadaan di pinggir laut bandar itu selama dua hari sebelum melancarkan serangannya.

Maklumat ini diketahui pada Ahad (17 Julai) sedang penyiasat menyatukan butiran pembunuhan ramai-ramai itu dan menyoal orang yang mungkin menjadi rakan jenayahnya.

Satu sumber rapat dengan siasatan itu berkata penyerang tersebut, Mohamed Lahouaiej-Bouhlel, warga Tunisia berusia 31 tahun, menghantar mesej teks sebelum serangan tersebut, di mana dia "meluahkan kepuasan kerana telah memperoleh pistol 7.65mm dan membincangkan bekalan senjata lain".

Dia juga mengambil gambar selfie di roda trak 19 tan itu pada hari-hari sebelum merempuh orang ramai yang sedang menikmati pertunjukan bunga api pada hari kebangsaan Perancis, Hari Bastille, dan membunuh 84 orang serta mencederakan kira-kira 300.

Beberapa saudara-mara dan rakan menggambarkan Lahouaiej-Bouhlel, seorang pemandu penghantaran, sebagai kaki botol dan tidak pernah pergi ke masjid tempatan.

Namun, beberapa daripada mereka yang disoal siasat penyiasat bercakap mengenai "perubahannya kepada radikal Islam baru-baru ini", kata sumber polis.

Bagaimanapun, belum ada bukti mengaitkan Lahouaiej-Bouhlel, dengan kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), yang Sabtu lalu mengaku melakukan serangan itu.

Serorang warga Albania yang disyaki menyediakan Lahouaiej-Bouhlel pistol itu ditahan di Nice pada Ahad. Lahouaiej-Bouhlel menembak ke aras polis, yang membalas dan akhirnya membunuhnya.

Dua replika senapang serangan dan sebuah bom grenad olok-olok dijumpai di dalam trak terasebut, yang disewanya beberapa hari sebelum itu dan digunakan untuk meninjau di kawasan pinggir laut itu dua hari berturut-turut sebelum serangan tersebut.

Salah seorang daripada lima orang lain yang ditahan berkaitan pembunuhan itu ialah seorang lelaki berusia 22 tahun, yang disyaki memberi sokongan logistik kepada Lahouaiej-Bouhlel, kata peguamnya, Encik Jean-Pascal Padovani.

Peguam itu berkata, lelaki berkenaan dan Lahouaiej-Bouhlel mengenali satu sama lain hanya beberapa bulan.

Isteri Lahouaiej-Bouhlel yang telah perpisah dengannya, seorang ibu tiga anak, dibebaskan pada Ahad selepas dua hari disoal siasat.

Di Nice, ramai orang masih menunggu berita daripada orang tersayang.

Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak antara yang mati, serta pelancong dari Amerika Syarikat, Ukraine, Switzerland, Jerman dan kira-kira 10 orang dari Russia, menurut sebuah persatuan Russia tempatan.

Menteri Kesihatan, Cik Marisol Touraine berkata 85 orang masih dirawat di hospital, 18 daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Menteri Dalam Negeri, Encik Bernard Cazeneuve, berkata pada Sabtu Lahouaiej-Bouhlel "seolah-olah menjadi radikal dengan cepat, daripada apa yang kawan-kawan dan keluarganya" beritahu polis.

Orang yang pergi ke gym yang sama dengannya - tempat dia mengikuti kelas tarian salsa dan angkat berat - menyifatkannya sebagai seorang yang bergaya dan "bermain mata dengan apa sahaja yang bergerak". - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 45
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.