BANGKOK: Ribuan pembantah anti-kerajaan telah membangunkan kepungan di beberapa persimpangan utama hari ini dalam usaha mereka untuk melumpuhkan ibu kota Thailand, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Perdana Menteri, Cik Yingluck Shinawatra, untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada sebuah pemerintahan yang dipilih untuk memantau perubahan pengundian yang bertujuan mencegah kuasa politik keluarga jutawannya, dan menangani rasuah politik yang berleluasa.
Beberapa jam setelah bantahan dimulakan pagi tadi, Cik Yingluck mengajak para pemimpin bantahan anti-kerajaan dan parti politik untuk membincangkan mengenai saranan Jawatankuasa Pilihan Raya (EC) menundakan tarikh pilihan raya yang dijadual pada 2 Februari nanti, kata seorang pegawai kanan kerajaan.
Sementara itu, di jalan-jalan raya kini, ribuan pembantah Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC) mengibarkan bendera negara dan membina pentas-pentas rapat di persimpangan Pathumwan, Ratchaprasong, Sala Daeng, Asoke, Lat Phrao, Monumen Kemenangan (Victory Monument) dan Chaeng Wattana, lengkap dengan khemah-khemah untuk tidur dan gerai-gerai yang menawarkan makanan percuma.
Anggota polis dan askar juga telah dikerahkan di kota yang didiami sekitar 12 juta penduduk itu, yang kini diibaratkan "sebagai lengang bagi hari Isnin". - AFP, Reuters.