BAGAN DATUK (Perak): Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid memberi bayangan pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) Malaysia akan diadakan selepas Tahun Baru Cina yang akan disambut pada pertengahan Februari depan.
Ini diungkapkan beliau dalam ucapannya ketika merasmikan Tokong Teoh Fu Kiong di Batu 12, Hutan Melintang dekat sini pada Ahad (26 Nov).
Beliau menggunakan istilah ‘hari besar’ bagi merujuk kepada PRU-14, yang tarikhnya masih menjadi tanda tanya.
“Jangan lupa hari besar kita akan sampai tidak lama lagi. Selepas Tahun Baru Cina akan ada ‘hari besar’ lain.
“Kalau dulu sudah bikin silap, tak apa saya maafkan. Kalau boleh kali ini jangan bikin silap lagi,” katanya.
Tahun Baru Cina akan disambut pada 16 Februari depan. – UTUSAN ONLINE