Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PM baru Palestin tawar sekelumit harapan bawa perubahan

Mohammad Mustafa (kanan) telah lama jadi penasihat Presiden Mahmoud Abbas (kiri). Pengkritik ragui beliau boleh hidupkan semula Penguasa Palestin seperti yang dikehendaki AS
Apr 08, 2024 | 05:31 AM



RAMALLAH: Pelantikan Dr Mohammad Mustafa pada Khamis 28 Mac sebagai Perdana Menteri Baru Penguasa Palestin (PA), dilihat sebagai dapat memenuhi tuntutan antarabangsa bagi sebuah pentadbiran yang lebih teknokrat dan kurang rasuah.


Menurut beberapa penganalisis, Dr Mustafa, 69 tahun, yang dilantik oleh Presiden PA, Encik Mahmoud Abbas, dipercayai tidak akan dapat menghidupkan semula PA sepertimana yang dikehendaki oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.

Sebagai Penasihat Kanan Presiden, Dr Mustafa, tidak mewakili peralihan dari masa lalu mahupun menimbulkan ancaman kepada kuasa yang dimiliki oleh Encik Abbas.

Encik Abbas, 88 tahun, tidak popular dalam kalangan rakyat Palestin, terutama sejak perang meletus di Gaza.

“Tidak akan ada sebarang perubahan sebenar,” kata mantan Menteri Luar PA, Encik Nasser al-Qudwa, yang berselisih faham dengan Encik Abbas.

“Keadaan akan kekal seperti sedia ada. Pembuat keputusan tidak akan berubah.”

Dr Mustafa, yang merupakan ahli ekonomi yang pernah bertugas di Bank Dunia dan mengetuai Dana Pelaburan Palestin, mesti menamakan anggota pemerintah baru dalam masa beberapa minggu ini.

Menurut penganalisis kepada The New York Times, langkahnya itu akan menjadi petunjuk yang lebih baik, sama ada beliau mempunyai rancangan perubahan yang jelas, lapor The New York Times.


Apa yang lebih genting kata mereka adalah pemilihan menteri bagi sektor dalam negeri, kewangan dan ehwal luar, yang kesemuanya rapat dengan Encik Abbas.

Encik Abbas, yang dikenali sebagai Abu Mazen, telah mengekalkan jawatannya di bawah ramai perdana menteri sebelum ini, walaupun hanya dipilih untuk penggal empat tahun pada 2005.

Pengkritiknya meragui jika Dr Mustafa mampu membawa perubahan besar dalam mengendalikan PA – yang punya kuasa pemerintahan terhad di Tebing Barat yang diduduki Israel dan didominasi oleh puak Fatah (Encik Abbas).

Fatah kehilangan kuasa di Gaza kepada Hamas, apabila tenteranya dikalahkan dalam perang saudara yang singkat pada 2007.

Pakar politik Palestin, Encik Mouin Rabbani berkata, pelantikan Dr Mustafa adalah ibarat pengunduran daripada matlamat penyatuan semula PA yang boleh mendapat sokongan Hamas.

Hamas kian popular dan disenangi oleh rakyat Palestin, ekoran tindakannya menyerang Israel.

Untuk mewujudkan PA “yang mempunyai kewibawaan yang mencukupi di Gaza dan Tebing Barat, ia mesti datang daripada konsensus antara PA dengaan Hamas”, kata Encik Rabbani.

“Dan saya tidak melihat sebarang petunjuk bahawa proses yang membawa kepada pelantikannya didorong oleh rakyat Palestin, sebaliknya oleh kuasa asing, sama ada serantau atau antarabangsa.”

Encik Rabbani menambah bahawa pilihan raya, jika diadakan sekarang, akan sangat memihak kepada Hamas dan akan menjejas proses perdamaian, yang mesti berlaku sebelum pembentukan PA baru dengan kebolehpercayaan untuk mengendalikan kedua-dua Tebing Barat dan Gaza, selepas perang tamat.

Lebih baik membentuk pemerintah baru “berdasarkan persetujuan dan konsensus oleh semua puak Palestin”, termasuk Hamas dan Jihad Islam Palestin, ujar Encik Rabbani.

Israel dan Amerika Syarikat telah mendesak agar dibentuk pemerintah baru tanpa Hamas dan Jihad Islam.

Namun, anggota kanan Fatah mengakui bahawa demi kepentingan puak itu, beberapa penyesuaian atau perkongsian kuasa dengan Hamas diperlukan – kedudukan yang menjadi pilihan pemimpin Palestin yang dipenjarakan, Encik Marwan Barghouti.

Seorang sekutu Encik Abbas, dengan kewibawaan antarabangsa seperti Dr Mustafa “adalah tepat seperti yang dimahukan oleh Washington” kata Encik Rabbani.

“Mereka beroperasi dengan salah tanggapan bahawa PA boleh memperolehi kewibawaan dengan melakukan apa yang dilakukannya sekarang, tetapi dengan lebih cekap, hilang pandangan tentang asas legitimasi sebenar, yang hanya boleh dicapai oleh rakyat Palestin sendiri.”

Profesor Sains Politik di Universiti Birzeit, Dr Ali Jarbawi berkata, keupayaan Dr Mustafa untuk berjaya di Gaza, akan bergantung pada mencapai persefahaman dengan Hamas, yang masih mempunyai kehadiran penting di kawasan itu, lima bulan selepas perang.

“Ia tidak akan dapat melakukan apa-apa di Gaza tanpa persetujuan Hamas,” kata beliau.

Pemerintah, kata Encik Jarbawi, juga sangat memerlukan suntikan besar bantuan asing.

“Tanpa wang, pemerintah tidak akan dapat memberi bantuan kepada orang ramai, termasuk membayar gaji penuh pekerjanya... Ia memerlukan bantuan dari dunia luar,” tambahnya.

Encik Kayed Meari, Pengasas institusi penyelidikan Palestin yang dipanggil Pusat Saksi bagi Hak Warga dan Pembangunan Kemasyarakatan, Encik Kayed Meari berkata, Dr Mustafa “adalah pilihan yang baik, dari segi konsep perubahan beransur bagi sistem PA,” tetapi beliau tidak akan membawa “perubahan asas”.

“Rakyat secara umum melihat beliau sebagai kesinambungan rejim Abu Mazen,” kata Encik Meari.

Tetapi keadaan bagi rakyat Palestin amat suram sekarang, tambahnya.

Jika Dr Mustafa sekurang-kurangnya dapat memulihkan pembayaran penuh gaji kakitangan pemerintah, atau mewujudkan sekurang-kurangnya petanda simbolik PA mengenai bantuan kemanusiaan ke Gaza, beliau akan meraih populariti, di sekurang-kurangnya dalam jangka pendek. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >