JAKARTA: Remaja Indonesia yang cuba menyerang dengan pisau seorang paderi di sebuah gereja semasa upacara sembahyang di Medan pada Ahad (28 Ogos) "kemaruk" dengan kumpulan pelampau Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), kata seorang menteri kanan pada Isnin (29 Ogos).
"Daripada telefon bimbit yang dirampas oleh pasukan keselamatan, remaja itu kemaruk dengan Abu Bakr al-Baghdadi," kata Ketua Menteri Keselamatan, Jeneral Wiranto, kepada pemberita, merujuk kepada pemimpin kumpulan militan Timur Tengah itu.
Jeneral Wiranto berkata satu nota yang ditemui di dalam beg ransel (backpack) penyerang itu menyatakan 'Saya suka al-Baghdadi', tetapi dia tidak mempunyai kaitan yang diketahui dengan rangkaian militan itu.
Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam cubaan serangan terbaru itu, yang berlaku di sebuah gereja di Medan, Sumatera Utara.
Polis berkata remaja tersebut cuba menikam seorang paderi, yang mengalami kecederaan ringan, dan meledakkan sebuah bom kasar buatan sendiri tetapi gagal selepas dihalang jemaah lain.
Suspek, dikenali sebagai Ivan Armadi, 17 tahun, kini disoal siasat. Polis merampas bahan membuat bom dari rumahnya selepas serangan itu dan berkata dia belajar memasang bom melalui penyelidikan dalam talian. - Reuters