Rumah Putih gesa Malaysia supaya telus berkaitan skandal 1MDB

WASHINGTON: Rumah Putih menggesa Malaysia pada Khamis (21 Julai) supaya menunjukkan tadbir urus baik dan iklim perniagaan telus, sehari selepas pendakwa raya Amerika mengambil tindakan saman untuk cuba merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion ($1.3 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada sebuah firma pelaburan kerajaan Malaysia.

Tindakan undang-undang sivil tersebut berpotensi menimbulkan isu berduri bagi dua negara itu, yang menjadi lebih rapat semasa pentadbiran Presiden Barack Obama, yang melawat Malaysia dua kali sepanjang dua tahun lalu.

Tindakan undang-undang mungkin menjejas hubungan, tetapi ini tidak mengejutkan, kata seorang pembantu kongres Amerika.

"Ia menjadi kebimbangan ramai orang sudah sekian lama. Rasuah di Malaysia satu masalah besar," kata pembantu itu.

Tiada tuduhan jenayah telah difailkan dalam skandal firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, yang dikendalikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Encik Obama bercakap secara umum dengan Datuk Seri Najib semasa lawatan ke Malaysia tahun lalu mengenai peri perlu ketelusan dan tadbir urus baik, kata jurucakap White House, Encik Josh Earnest, dalam satu taklimat berita.

"Bagi kepentingan perniagaan yang sedang menimbangkan menjalankan perniagaan di Malaysia, mereka akan mencari tanda-tanda terdapat iklim perniagaan baik," ujarnya kepada pemberita.

Kerajaan Malaysia "harus menonjol dalam menunjukkan dengan jelas mereka komited pada ketelusan dan tadbir urus baik, dan jenis peraturan yang akan menggalak orang ramai yang sedang menimbangkan melabur dalam ekonomi Malaysia yang berkembang pesat untuk mempunyai keyakinan bahawa mereka boleh berbuat demikian dengan adil," kata Encik Earnest. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.