Russia, Syria lancar serangan terselaras ke atas pemberontak

BEIRUT: Russia dan Syria telah melancarkan serangan terselaras melalui darat, udara dan laut yang cuba menterbalikkan kemenangan baru-baru ini kumpulan pemberontak yang telah mula menceroboh pantai Syria, kubu genting Presiden Bashar Assad.

Moscow berkata ia telah melepaskan 26 peluru berpandu pada sasaran di Syria dari kapal tentera laut di Laut Caspian, walaupun tidak jelas apakah ia mengena sasaran.

Seorang jeneral Syria berkata campur tangan Russia telah melemahkan militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) dan juga penentang bersenjata lain Encik Assad.

Bagaimanapun, Washington berkata lebih 90 peratus daripada serangan Russia disasarkan terhadap pembangkang sederhana.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada Khamis (8 Okt) menyuarakan kebimbangan mengenai kegiatan ketenteraan Russia yang semakin meningkat di Syria.

"Kami akan menilai perkembangan terkini dan implikasinya ke atas keselamatan pasukan perikatan (pimpinan Amerika Syarikat)," kata Setiausaha Agung Jens Stoltenberg sambil masuk ke dalam mesyuarat menteri pertahanan Nato di Brussels.

"Ini lebih-lebih penting memandangkan pelanggaran ruang udara Nato baru-baru ini oleh pesawat Russia," katanya.

Ketegangan antara Russia dan Turkey, anggota Nato, meningkat minggu ini selepas pesawat Russia mencabul ruang udara Turkey.

Seorang pegawai pasukan perikatan berkata campur tangan Russia - hasil rancangan pakatan Syria, Iran, Russia and kumpulan Hizbollah - telah memberi nafas baru kepada tentera Syria dan melenyapkan sembarang keraguan tentang komitmen Russia kepada Encik Assad,

Walaupun Barat menggesa beliau berundur, Encik Assad kekal berkuasa lebih empat tahun setelah perang meletus dan membunuh 250,000 orang.

Bagi penyokong mahupun penentang Encik Assad di rantau tersebut mahupun antarabangsa, kesediaan Russia meletak kuasa tenteranya sepenuhnya di belakang beliau bermakna keadaan telah berubah.

Bagi penyokong beliau, ia memberi kelegaan dan semangat yang amat diperlukan, sementara bagi lawan beliau, ia bermakna melawan musuh yang jauh lebih kuat dan pilihan semakin kurang, misalnya peraturan zon larangan terbang atau zon penampan di sepanjang sempadan Syria dengan Turkey kini tidak boleh dilaksana.

Russia memberi tumpuan operasinya pada gabungan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Penaklukan, atau Jaish al-Fatah, dan bukannya ISIS, kata pegawai daripada pakatan perikatan itu.

Beberapa kali pada Rabu, pemberontak melepaskan tembakan peluru berpandu anti-kereta kebal, yang dibekalkan secara terselindung oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika, ke arah kereta kebal buatan Russia Syria, sehingga menampakkan perang proksi antara Russia dan Amerika.

Negara-negara Barat menyokong pemberontak yang berusaha menyingkir Encik Assad. - New York Times, AFP

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.