Nur berseri di tanah suci

Saudi: Haji tahun ini bebas wabak, paling sempurna

MAKKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi semalam menggambarkan musim haji tahun ini sebagai yang paling sempurna sejauh ini. “Musim haji 1435 merupakan kejayaan besar,” kata Gabenor Makkah, Putera Mishaal Abdullah, kepada portal berita Arab News semalam.

Kenyataan Putera Mishaal itu dibuat sedang Arab Saudi juga mengisytiharkan musim haji tahun ini bebas daripada wabak penyakit dan kuarantin, dengan semua jemaah sihat dan dalam keadaan baik.

Saudi Press Agency melaporkan Pemangku Menteri Kesihatan Arab Saudi, Encik Adel Mohammed Fakeih, membuat pengisytiharan itu dalam satu sidang akhbar di hospital kecemasan Mina dekat sini kelmarin.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Arab Saudi, Dr Hassan Al-Bushra, pula mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi di atas pencapaiannya menangani pengurusan kesihatan jemaah.

Agensi berita itu melaporkan bahawa wakil bagi khidmat pantas WHO, Dr Amnah Yahya Alshayeb, turut memuji perkhidmatan, keupayaan dan sumber manusia Arab Saudi di tanah suci serta pencapaiannya bagi musim haji tahun ini.

Sementara itu, Arab News melaporkan bahawa Encik Adel Fakeih berkata 70 orang yang disyaki mengalami Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) disahkan tidak menghidap virus korona itu.

Kira-kira dua juta umat Islam dari 163 negara menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menurut Arab News, Arab Saudi negara paling teruk terjejas oleh Mers, dengan 322 orang korban di negara ini sejak penyakit tersebut dikesan buat kali pertama pada September 2012.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi dilaporkan telah mengambil ribuan pekerja kesihatan bagi memastikan jemaah dilindungi daripada dua virus yang boleh membawa maut yang sedang melanda sekarang, Ebola dan Mers.

Dalam usahanya membendung penyakit itu, Arab Saudi menubuhkan pusat pemantauan di lapangan terbang dengan menempatkan kamera pengesan suhu badan dan melakukan saringan kesihatan ke atas jemaah.

Selain itu, 15 bilik pengasingan bagi kes yang disyaki disediakan di Lapangan Terbang Raja Abdulaziz di Jeddah.

Pada Ahad lalu, Kementerian Kesihatan melaporkan dua lagi kematian akibat Mers, di Riyadh dan di Taif, iaitu 80 kilometer ke timur Makkah.

Wabak Ebola, yang mengorbankan lebih 3,000 orang di Afrika Barat, menyebabkan Muslim dari negara paling teruk dilanda wabak tersebut, iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone, tidak dibenarkan menunaikan haji tahun ini. - Agensi berita.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 29
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.