Sebahagian kilang perabot Jokowi ranap dek kebakaran

JAWA TENGAH (Indonesia): Satu kebakaran besar telah memusnahkan sebahagian daripada kilang perabot yang dimiliki Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo.

Kilang tersebut terletak di Zon Perusahaan Kalijambe, Wilayan Sragen di Jawa Tengah.

Kejadian berlaku pada 4.30 petang kelmarin (Selasa), lapor akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post.

Menurut beberapa saksi, kebakaran bermula dari ketuhar mengeringkan kayu.

Tiada korban nyawa dilaporkan.

"Kebakaran dilihat menjulang dari bumbung bilik ketuhar itu dan kemudian ia pantas merebak ke bahagian lain.

"Pekerja cemas dan mereka cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam tetapi api cukup marak," kata Encik Agus Santoso, seorang saksi kejadian itu.

Pegawai keselamatan di kilang berkenaan mengarahkan semua orang menyelamatkan diri dan menghubungi jabatan bomba.

Lebih 10 kereta bomba dikerahkan untuk memadamkan api.

Polis Surakarta turut mengerahkan kenderaan pancutan air untuk membantu memadamkan kebakaran kerana kereta bomba pada suatu ketika sukar melawan api.

Sehingga laporan disiarkan, dua daripada lima bahagian kilang telah mengalami kerosakan.

Para anggota bomba bertugas hingga lewat petang itu untuk memadamkan api.

Ketua Polis Sragen, Encik Ari Wibowo berkata, sebaik api dapat dikawal, polis menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian.

Sebelum menyertai politik dan menjadi datuk bandar Surakarta, Encik Jokowi merupakan ahli perniagaan perabot yang berjaya dan mengeksport perabotnya ke luar negara. - The Jakarta Post.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 45
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.