Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sel pengganas Batam berlatih di kawasan perumahan untuk elak curiga: Polis

Aug 12, 2016 | 09:41 AM



JAKARTA: Pengganas daripada sel Batam yang pemimpinnya merancang menembak roket ke Marina Bay Singapura mengelak daripada disyaki dengan berlatih secara terbuka menggunakan senjata replika di sebuah padang di sebuah kawasan perumahan.



Lima anggotanya, termasuk ketua Gigih Rahmat Dewa, 31 tahun, berkumpul di sebuah padang di kawasan Nongsa untuk berlatih menggunakan senjata, kata Ketua Polis Daerah Batam, Pesuruhjaya Polis (CP) Helmy Santika, kepada akhbar The Straits Times melalui telefon pada Khamis (11 Ogos).



Sel yang kurang diketahui itu dipanggil Katibah GR, atau Sel GR.



"Tidak seperti kumpulan pengganas lain yang berlatih dalam hutan, mereka berlatih dan menjalankan latihan menggunakan senjata airsoft (senapang replika) di padang di sebuah kawasan perumahan," katanya.



"Dengan cara itu, orang tidak curiga terhadap mereka."



Butiran baru ini muncul selepas polis mengesahkan lima suspek itu telah diterbangkan ke Jakarta pada Selasa, empat hari selepas penangkapan mereka, bagi siasatan lanjut.



CP Helmy berkata semua bukti, seperti senjata yang dirampas dalam serbuan, juga telah dihantar ke Jakarta.



"Mereka dikawal ketat oleh polis di Riau dan juga daripada Densus 88, semuanya bersenjata penuh," kata beliau, merujuk kepada unit antipengganasan elit polis Indonesia.



Secara berasingan, jurucakap polis kebangsaan Agus Rianto berkata suspek akan disoal siasat oleh penyiasat Densus 88 kerana terlibat dalam pengganasan.



Polis masih menjejak anggota lain sel Gigih itu di Batam dan bahagian lain di Indonesia, katanya.



CP Helmy juga mendedahkan pada Khamis bahawa salah seorang daripada etnik Uighur yang dilindungi oleh sel itu memasuki Batam dari Singapura melalui laut sekitar Mac atau April lalu.



Lelaki dikenali sebagai Doni itu telah dihantar pulang ke China selepas ditangkap.



"Kami tidak pasti bagaimana dia memasuki Singapura, apakah dia menggunakan pasport palsu atau melalui cara tidak sah," katanya.



Beliau juga berkata polis Batam telah bertemu pihak berkuasa Singapura untuk melakar "kerjasama intensif lebih banyak dan pertukaran maklumat".



"Kami mahu memastikan orang di sini berasa aman, bukan penduduk Batam sahaja, malah rakyat Singapura yang ramai di sini," katanya.



Polis berkata sebelum ini ahli sel itu mendapat latihan dalam talian melalui kumpulan sembang Facebook daripada militan Indonesia berpangkalan di Syria, Bahrun Naim, untuk "memasang senjata api, membuat bahan letupan dan membina roket itu".



Mereka juga berkata suspek mendapat latihan dalam menggunakan senjata api dan menubuhkan sebuah struktur perintah dengan Gigih sebagai 'amir' atau panglima kumpulan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >