Seorang maut dan 46 rumah musnah dalam kebakaran belukar di Perth

SYDNEY: Seorang lelaki terkorban manakala empat orang lagi masih hilang setelah api belukar yang merebak cepat memusnahkan sekurang-kurangnya 46 rumah di Perth, di barat Australia, menurut jurucakap kerajaan itu hari ini.

Kebakaran dipercayai bermula apabila sebatang tiang elektrik tumbang di kawasan hutan di luar bandar semalam.

Api kemudian ditiup angin panas yang kencang sehingga setinggi 20 meter dan memusnahkan kawasan perumahan di sekitarnya.

Jabatan khidmat bomba dan kecemasan Australia Barat mengesahkan 46 rumah musnah dan memberi amaran sekitar 30 peratus zon kebakaran masih belum dinilai.

Pesuruhjaya bomba Australia Barat, Encik Wayne Gregson, berkata sehingga hari ini, empat orang masih hilang dan mereka dikhuatiri menjadi "mangsa kebakaran."

"Kami akan terus mencari sehingga menemui orang-orang ini," kata Encik Gregson kepada wartawan, sambil menambah pihaknya bekerja keras bersama polis.

Awal sebelum itu, khidmat ambulans berkata seorang lelaki berusia 62 tahun, mati setelah rebah di bumbung rumahnya semasa bersiap sedia bagi menghadapi api.

Ratusan penduduk meninggalkan rumah mereka untuk ke pusat-pusat evakuasi sementara menantikan berita terkini. - Agensi.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 70
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.