Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sisi dipilih semula sebagai presiden Mesir dengan majoriti besar

Dec 19, 2023 | 01:05 PM



KAHIRAH: Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, telah memenangi penggal ketiga dalam pilihan raya di mana beliau tidak menghadapi pencabar serius dan memperoleh hampir 90 peratus undi, menurut pihak berkuasa pilihan raya pada 18 Disember.


Encik al-Sisi menyifatkan keputusan itu sebagai penolakan “perang tidak berperikemanusiaan” di wilayah jiran, Gaza.

Beberapa pengundi berkata konflik di Gaza telah mendorong mereka untuk mengundi Encik al-Sisi, yang menampilkan dirinya sebagai benteng kestabilan di wilayah yang tidak menentu.

Dalam pilihan raya itu, beliau memperoleh 89.6 peratus undi, menurut Penguasa Pilihan Raya Kebangsaan.

Mesir menghadapi kemelut krisis ekonomi yang lembap dan cuba untuk menguruskan risiko kesan limpahan daripada perang Israel-Hamas.

Ramai penduduk di dunia Arab itu, kurang memberikan perhatian terhadap pilihan raya pada 10 hingga 12 Disember.

Mereka mengatakan keputusan itu adalah sesuatu yang memang dijangkakan.

Pemerintah negeri dan media tempatan yang dikawal ketat berusaha keras untuk meningkatkan peratusan mereka yang keluar mengundi.

Menurut pihak berkuasa pilihan raya, ia telah mencapai 66.8 peratus – jauh melebihi 41 peratus yang dicatatkan pada Pilihan Raya Presiden pada 2018.

“Rakyat Mesir beratur untuk mengundi bukan sahaja untuk memilih presiden mereka bagi penggal seterusnya, malah untuk menyatakan penolakan mereka terhadap perang tidak berperikemanusiaan ini kepada seluruh dunia,” kata Encik al-Sisi dalam ucapan sejurus sahaja keputusan diumumkan.

Beliau menyifatkan perang antara Israel dengan Hamas, sebagai cabaran utama Mesir.

Mesir telah berkata ia tidak akan membenarkan sebarang penghijrahan rentas sempadan penduduk Gaza.

Pilihan raya itu menampilkan tiga calon lain, namun tiada seorang pun daripada mereka berprofil tinggi.

Pencabar berpotensi paling menonjol itu menghentikan saingannya pada Oktober, dan berkata pegawai dan samseng telah menyasarkan penyokongnya – tuduhan yang diketepikan oleh pihak berkuasa pilihan raya.

“Tiada pilihan raya, (Encik) al-Sisi menggunakan seluruh peralatan negara dan agensi keselamatan untuk menghalang mana-mana pesaing serius daripada bertanding,” kata Encik Hossam Bahgat, ketua Inisiatif Mesir untuk Hak Peribadi (EIPR), sebuah kumpulan bebas.

“Sama seperti kali terakhir, beliau memilih sendiri lawannya yang hanya bertanding menentang presiden dengan sama ada disenyapkan atau hampir tiada kritikan terhadap dasar bencananya.”

Encik al-Sisi, bekas jeneral, telah menyelia tindakan keras terhadap perbezaan pendapat di seluruh spektrum politik, sejak memimpin gerakan penggulingan pemimpin pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi, Encik Mohamed Mursi dari Ikhwanul Muslimin, pada 2013.

Beliau telah dipilih untuk jawatan presiden pada 2014 dan dipilih semula pada 2018, kedua-dua kali dengan 97 peratus undi.

Perlembagaan telah dipinda pada 2019, melanjutkan tempoh jawatan presiden kepada enam tahun dari empat, dan membenarkan Encik al-Sisi bertanding untuk penggal ketiga.

Ada yang mengagumi pemacu prasarana termasuk ibu kota baru yang dibina dari awal di padang pasir di timur Kahirah, yang menurut Encik al-Sisi menandakan pelancaran “republik baru”.

Orang lain melihat bandar itu sebagai pemborosan yang mahal.

Inflasi yang pesat, kekurangan mata wang asing yang kronik, dan beban hutang yang semakin meningkat telah menyebabkan kritikan yang semakin meningkat terhadap dasar ekonomi.

“Saya memperbaharui perjanjian saya dengan anda, untuk bersama-sama mengerahkan segala usaha untuk terus membina republik baru, yang kami harap dapat didirikan mengikut visi bersama,” kata Encik al-Sisi dalam ucapan yang dirakamkan di televisyen negeri.

Penyokong Encik al-Sisi berkata keselamatan adalah perkara terpenting.

Wanita adalah antara yang mendapat manfaat daripada pemerintahannya, walaupun banyak lagi yang perlu dilakukan, kata Cik Nourhan ElAbbassy, penolong setiausaha agung cawangan pemuda parti yang menyokong Encik al-Sisi, Homat AlWatan, dipetik agensi berita Reuters.


“Kami ingin melihat lebih ramai wanita memegang jawatan penting, lebih ramai menteri wanita dalam kabinet selagi mereka layak, dan semakan undang-undang hak peribadi yang ada kaitan dengan isu seperti perkahwinan, perceraian dan nafkah,” katanya.

Pihak berkuasa telah berusaha untuk menangani kritikan terhadap rekod hak asasi manusia Mesir dengan langkah-langkah termasuk membuka dialog nasional dan membebaskan beberapa banduan terkemuka. Pengkritik telah menolak langkah itu (menyifatkan ia) sebagai sebahagian besarnya (berunsur) kosmetik. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >