Sultan Johor gesa belajar daripada Singapura cara urus air

JOHOR BAHRU: Sultan Johor menyuarakan rasa kesal atas penswastaan bekalan air negeri beliau 16 tahun lalu dan berkata pihak berkuasa tidak perlu "melihat lebih jauh daripada Singapura untuk belajar cara menguruskan air".

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar New Straits Times (NST) yang disiarkan pada Selasa (30 Ogos), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyalahkan penswastaan Syarikat Air Johor (SAJ) bagi kekurangan air yang teruk melanda negeri itu.

"Beberapa tahun lalu, saya memberi peringatan kepada kerajaan saya bahawa satu krisis air akan berlaku. Kesilapan sangat besar yang Johor pernah buat ialah menswastakan Syarikat Air Johor," kata Sultan Ibrahim.

"Sekarang, saya dan MB (Menteri Besar) saya sedang memerah otak kami untuk menyelesaikan masalah ini. Ia satu isu yang membuat saya tidak boleh tidur."

SAJ ditubuhkan pada Februari 1994 sebagai sebuah syarikat kerajaan negeri. Ia kini anak syarikat milik penuh Ranhill Utilities, dengan konsesi eksklusif merawat, membekal dan mengedarkan air kepada pengguna di Johor bagi tempoh 30 tahun mulai 1 Mac 2000.

Bekalan air kekurangan di beberapa bahagian Johor, termasuk Mersing, sejak April kerana paras empangan air yang merosot memaksa SAJ melaksana catuan air.

"Rekod hujan tahun ini separuh daripada tahun lepas. Anda boleh menunggang basikal di Empangan Congok di Mersing," ujar Sultan Ibrahim.

Ketua Eksekutif SAJ, Encik Abdul Wahab Abdul Hamid, berkata Khamis lalu bahawa catuan air di kawasan-kawasan di Mersing yang telah berlarutan sejak empat bulan lalu dijangka berakhir pada 15 Sep.

Tetapi ini tertakluk pada paras air di Empangan Congok, kolam air utama Mersing yang paras airnya jatuh ke 2.7m pada 25 Ogos, berbanding tahap kritikal 4.5 juta, lapor akhbar The Star.

"Tidak ada hujan. Bahkan ada catuan air di bandar Mersing. Jadi, kami terpaksa mengambil sedikit air yang dimaksudkan untuk Singapura," kata Sultan Ibrahim, yang merujuk pada bekalan air bersih segera dari Singapura, melebihi apa yang republik itu kini bekalkan kepada Johor, pada Julai lalu.

Merujuk kepada pengurusan sumber air Singapura, beliau berkata: "Kita tidak perlu melihat lebih jauh daripada Singapura untuk belajar cara menguruskan air. Jangan malu! Mengapa kita perlu melihat pada negara-negara jauh untuk belajar? Ia akan menjadi satu pembaziran wang kerajaan. Kita mesti mempunyai air yang dikitar semula untuk kegunaan industri."

Sultan Ibrahim menambah: "Ada kala kita menerima industri yang Singapura tolak. Nasihat saya kepada pihak berkuasa ialah bersikap selektif dan milih industri dengan betul, dan jangan susahkan hidup rakyat."

Beliau juga mengkritik kerajaan federal, dengan berkata: "Apa jua keputusan yang anda buat di Kuala Lumpur, harap fahamilah sentimen Johor... Apabila anda membuat perjanjian dengan Singapura dan tidak merujuk kepada kami sedangkan kita berkongsi geografi dan sumber sama, rakyat kami terjejas."

Sultan Ibrahim juga mendedahkan sebuah syarikat sedang mengkaji kemungkinan mengadakan kereta api maglev (apungan magnet, atau magnetic levitation, iaitu kaedah pengangkutan yang menggerakkan kenderaan tanpa menjejak tanah) di Johor, sambil menambah "ia tiada kaitan dengan rel kelajuan tinggi" antara Malaysia dan Singapura.

"Ia akan menghubungkan Johor Bahru, Pasir Gudang, Kempas, Iskandar Puteri dan kawasan-kawasan lain (di Johor). Kami juga sedang meninjau kemungkinan maglev itu memasuki Singapura, memandangkan kesesakan lalu lintas besar di Tambak Johor setiap hari," katanya.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:12
Asar
4:13
Maghrib
7:14
Isyak
8:23
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,142.900 -