Sultan Johor mahu kuasa raja dikembalikan

KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim Iskandar dari Johor menggesa kerajaan supaya menarik balik pindaan dua dekad lalu ke atas Perlembagaan Malaysia yang menghapuskan kuasa raja memveto undang-undang dan kekebalan undang-undang mereka.

Dalam ucapan terbarunya mendesak lebih banyak kuasa budi bicara diberi kepada raja, beliau berkata: "Tidak wajar mengehadkan atau menghapuskan kuasa Raja atau Sultan dalam memeriksa dan memberi Perkenan Diraja bagi undang-undang."

"Ini hanya mengurangkan peranan Raja dan Sultan kepada sebagai pak turut semata-mata untuk mengesahkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya ketika merasmikan Persidangan Speaker Parlimen dan DUN Malaysia 2016 di Johor Baru pada Sabtu (7 Mei).

Sembilan daripada 13 negeri di Malaysia diperintah oleh keturunan raja Melayu, yang bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong, atau Raja, persekutuan bagi penggal lima tahun.

Mereka bertindak sebagai raja berperlembagaan manakala kuasa eksekutif terletak pada Perdana Menteri dan Kabinet di peringkat persekutuan. Di peringkat negeri, menteri besar dan ketua menteri membuat keputusan eksekutif.

Tanpa menyebut Umno, Sultan Ibrahim dalam ucapannya berkata "sebuah parti politik Melayu mengehadkan kuasa Raja (Agong). Yang lebih teruk ialah mereka memaksa Agong bertindak mengikut nasihat Kabinet".

Beliau berkata pindaan perlembagaan yang dibuat pada 1994 "merampas kuasa Raja demi kepentingan politik atau individu". Beliau menambah: "Saya berharap ini dapat diperbetul."

Pakatan pemerintah yang dipimpin Umno membendung kuasa raja berikutan dua krisis perlembagaan utama pada 1983 dan 1993.

Yang pertama timbul apabila pentadbiran Mahathir Mohamad mengubah Perlembagaan untuk memberi Parlimen dan DUN hak membatalkan sebarang veto raja berhubung perundangan.

Kuasa raja dibendung lagi berikutan dua insiden serangan pada 1992 melibatkan penjaga gol dan jurulatih hoki Johor, yang didakwa membabitkan tokoh diraja. Kerajaan meminda Perlembagaan pada 1993 untuk menghapuskan kekebalan keluarga diraja daripada undang-undang.

Perubahan seterusnya bermakna Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh mana-mana badan perundangan akan menjadi undang-undang selepas 30 hari, tidak kira sama ada raja berkenaan perkenan atau tidak.

Tidak jelas apakah gesaan Sultan Ibrahim itu disokong lapan keluarga diraja lain. Tetapi seruan meminda Perlembagaan itu tidak mungkin bertapak kerana pakatan kerajaan Barisan Negara (BN) sekarang menguasai dua pertiga Parlimen, peratusan yang diperlukan untuk mengubah Perlembagaan.

Selain itu, tiada pergerakan popular agar hak istimewa raja dikembalikan.

Kerajaan Datuk Seri Najib Razak belum respons terhadap gesaan terkini Sultan Ibrahim itu.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 29
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.