Suspek militan Uighur dikesan di Riau: Menteri Indonesia

JAKARTA: Perisikan Indonesia telah dimaklumkan mengenai kehadiran beberapa orang Uighur di Kepulauan Riau, kata Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Encik Luhut Pandjaitan.

"Orang Uighur telah memasuki kawasan itu, kami sedang memantau," ujarnya ketika ditanya apakah pihak berkuasa telah mengesan kehadiran sel pengganasan di wilayah tersebut.

Beliau enggan mengulas lanjut tetapi militan daripada kumpulan etnik Turkey-Muslim di rantau barat jauh China, Xinjiang, telah diketahui ada bekerjasama dengan pelampau Islam di Indonesia.

Laporan sebelum ini menunjukkan hingga lapan orang Uighur mungkin telah sampai di Indonesia, dengan beberapa daripada mereka berjaya menyertai kumpulan Mujahideen Indonesia Timur (MIT), yang diketuai Santoso, pengganas paling dikehendaki di Indonesia yang ditembak mati askar pada Isnin (18 Jul) lalu.

Beberapa militan Uighur yang tidak dikenal pasti juga telah muncul bersama pejuang MIT dalam gambar yang diedar dalam talian, yang kononnya diambil di kawasan hutan di suatu tempat di Poso, Sulawesi Tengah, tempat MIT bersembunyi sejak tahun-tahun kebelakangan.

Perkembangan terbaru yang didedahkan oleh Encik Luhut datang hanya dua hari selepas kematian Santoso dalam pertempuran di luar sebuah kampung di Poso.

Ia juga menyusuli ancaman bom oleh sebuah kumpulan militan Islam tempatan yang kurang diketahui, Kelompok Islam Insaf, yang dihantar awal bulan ini kepada pengusaha feri di Singapura yang berulang-alik antara republik itu dan Batam.

Dalam sekurang-kurangnya dua surat yang dihantar melalui pos tempatan ke pejabat pengendali feri Horizon Fast Ferry dan Batam Fast di Singapura pada 4 Julai, kumpulan itu mengancam akan menyerang destinasi pelancongan popular seperti Tanjung Pinang dan Pusat Beli-Belah Nagoya Hill di Batam, serta pelabuhan utama di Batam dan Bintan pada Julai.

Polis wilayah di Riau menurunkan tahap amaran pengganasan di kawasan itu selepas ia berpuas hati ancaman bom itu tidak lagi menimbulkan bahaya segera terhadap penduduk dan pengunjung.

Siasatan polis tidak mendedahkan sembarang bukti untuk menyokong ancaman itu, kata Ketua Polis Kepulauan Riau, Encik Sambudi Gusdian, minggu lalu.

Bagaimanapun, lebih 1,600 anggota keselamatan dikerah ke tempat ramai orang dan tumpuan warga asing, serta pelabuhan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim di Batam.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 50
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.