Tamparan berganda bagi ISIS sedang Ramadi jatuh, pemimpinnya terbunuh

BAGHDAD: Tentera perikatan yang diketuai Amerika Syarikat membunuh 10 pemimpin kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), termasuk individu yang dikaitkan dengan serangan Paris, dalam serangan udara, kata seorang jurucakap Amerika.

Ini menimpa tamparan berganda ke atas kumpulan militan itu, selepas tentera Iraq menggulingnya dari Ramadi.

Perdana Menteri Iraq, Encik Haider al-Abadi, mencacak bendera negara itu di Ramadi selepas tentera merampas semula bandar tersebut daripada ISIS.

Tentera Iraq merampas semula Ramadi pada Ahad lalu, dengan sokongan serangan udara oleh pasukan perikatan.

"Sejak beberapa bulan lalu, kami membunuh 10 tokoh kepimpinan ISIL melalui serangan udara tertumpu, termasuk beberapa perancang serangan dari luar (Iraq), sesetengah mereka dikaitkan dengan serangan Paris," kata Kolonel Steve Warren daripada Tentera Darat Amerika Syarikat, jurucakap kempen pimpinan Amerika terhadap ISIS, yang juga dikenali dengan singkatan ISIL.

Antara yang terbunuh ialah Abdul Qader Hakim, yang melicinkan operasi luar ISIS dan mempunyai hubungan dengan rangkaian serangan Paris, kata beliau.

Dia dibunuh di Iraq, di bandar Mosul, pada 26 Disember.

Dua hari sebelum itu, satu serangan udara di Syria membunuh Charaffe al Mouadan, ahli ISIS berpangkalan di Syria yang mempunyai hubungan langsung dengan Abdelhamid Abaaoud, suspek ketua sindiket pengeboman dan serangan di Paris pada 13 November, yang mengorbankan 130 orang, ujar Kolonel Warren.

Mouadan sedang merancang serangan lanjut terhadap Barat, tambah beliau.

Serangan udara ke atas kepimpinan ISIS membantu menjelaskan kejayaan baru-baru ini usaha di medan perang terhadap kumpulan itu, yang juga kehilangan kekuasaan ke atas sebuah empangan di laluan bekalan strategik berhampiran ibu kota de factonya, Raqqa, di Syria pada Sabtu (26 Dis).

"Sebahagian daripada kejayaan itu disebabkan hakikat bahawa kumpulan tersebut sedang kehilangan kepimpinannya," kata Kolonel Warren.

Namun, beliau memberi amaran: "Ia masih mempunyai taring."

Tiga mortar mendarat kira-kira 500 meter dari lokasi Perdana Menteri Abadi semasa lawatannya, kata sumber keselamatan.

Encik Abadi mengumumkan lawatanya ke Ramadi di Twitter dan mengisytiharkan Khamis (31 Dis) sebagai cuti umum bagi menyambut kejayaan tersebut. - Reuters

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 79
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.