TRAGEDI MH370

Tanda tanya seluas samudera

Malaysia tetap fokus dan konsisten dengan pendirian cari MH370 walau apa jua tuduhan dan spekulasi

SEDANG keluarga dan rakan mangsa pesawat MH370 bermandikan air mata dan takziah mencurah dari serata dunia, Malaysia kini giat mencari bangkai pesawat MH370 bagi merungkaikan tragedi pesawat yang terkubur di Lautan Hindi itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang membentangkan usul menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu di Dewan Rakyat semalam berikrar ''akan mencari segala serpihan, rangka serta objek-objek yang berkaitan dengan pesawat MH370 supaya dapat kita mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa pesawat itu telah hilang di selatan Lautan Hindi''.

Ikrar Datuk Najib itu dibuat sedang beberapa anggota keluarga, terutama sanak saudara penumpang dari China, melahirkan keraguan tentang apa yang mereka baca dan dengar sejauh ini.

Berpuluh-puluh sanak saudara penumpang China telah mengadakan bantahan di luar kedutaan Malaysia di Beijing - menuntut supaya kerajaan Malaysia membuat penjelasan dan tidak ''mengaburi dan menipu mereka''.

Dalam pada itu, keadaan laut bergelora dengan ombak setinggi dua meter hingga mencecah empat meter telah menghambat usaha mencari yang telah ditangguhkan semalam.

Dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Najib menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak berniat sama sekali mahu menghalang atau menutup sebarang maklumat daripada disampaikan kepada anggota keluarga mangsa ataupun untuk pengetahuan umum.

Justeru Datuk Seri Najib berkata beliau mengambil keputusan membuat kenyataan rasmi pada malam kelmarin juga kerana tidak mahu disalah anggap bahawa apabila kerajaan Malaysia mempunyai sesuatu maklumat, ia tidak disampaikan secepat mungkin.

Beliau juga telah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan rapi daripada segenap sudut berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam sidang akhbar petang semalam berkata siasatan mengenai simulator yang dimiliki kapten juruterbang MH370 masih berjalan dan Bukit Aman masih menunggu rakan luar negara memberikan maklumat siasatan.

Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pula berkata negaranya tidak berganjak daripada fokus dan konsisten dengan pendirian mencari MH370, walau apa jua tuduhan dan spekulasi timbul.

Kerajaan, ujarnya, kini mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Encik Ahmad Jauhari Yahya, pula berkata berdasarkan rumusan hasil analisis data satelit, sukar untuk sesiapa terselamat selepas pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi.

Beliau berkata analisis data satelit oleh Inmarsat menunjukkan kedudukan terakhir pesawat MH370 adalah di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi di mana tiada kawasan untuk pesawat mendarat.

''Ia ada sedikit sahaja minyak dan kalau terus terbang, tak ada daratan. Boleh dirumuskan ia terhempas ke dalam Lautan Hindi,'' jelasnya lagi.

Orang ramai semalam membanjiri laman media sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram melahirkan kesedihan dan berkongsi kata-kata semangat kepada keluarga penumpang pesawat.

Salah satu tweet yang amat menyayat hati ialah daripada Cik Maira Elizabeth Nari, anak perempuan Encik Andrew Nari, ketua pramugara bagi pesawat MH370 yang hilang.

Cik Maira, yang menulis di Twitter@Gorxous berkata: ''Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan mengenainya. Tuhan lebih sayangkan ayah, Tuhan lebih sayangkan mereka.''

Di laman Facebook Friends of Captain Zaharie MH370, Encik Ahmad Idris Zaharie menulis ''thank you all for the doa n support... dariNya kita datang... kepadaNya kita kembali... Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang berdedikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini... Al-Fatihah.''.

Sementara itu Bloomberg melaporkan bahawa anggota keluarga boleh membuat tuntutan sehingga AS$175,000 ($222,600) bagi setiap penumpang sekiranya pesawat MH370 itu tidak ditemui.

Syarikat penerbangan di bawah Konvensyen Montreal 1999 perlu membayar ganti rugi kepada setiap penumpang yang cedera atau terbunuh dalam kemalangan walaupun puncanya tidak dapat dipastikan.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.