Tegang dek isu tangkap ikan tidak akan jejas hubungan dengan Beijing: Jakarta

JAKARTA: Beijing belum secara rasmi memberi respons terhadap bantahan Indonesia berhubung pertikaian membabitkan dua kapal China di Kepulauan Natuna, tetapi pertengkaran itu tidak mungkin menjejaskan hubungan ekonomi antara dua negara tersebut, kata dua menteri Indonesia.

Pada Selasa (22 Mac), sebuah bot peronda China menghalang pihak berkuasa Indonesia menahan sebuah bot China yang didakwa menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.

Timbalan Menteri Luar Indonesia, Encik Abdurrahman Mohammad Fachir, menegaskan pada Rabu kejadian itu bukan satu pertikaian sempadan.

"Apa yang perlu digariskan di sini ialah Indonesia dan China tidak mempunyai masalah sempadan," Dr Fachir memberitahu berita Detik.

Indonesia tidak meminta pengantaraan dengan China, katanya, sambil menambah bahawa tindakan seterusnya yang akan diambil bergantung pada penjelasan rasmi China terhadap bantahan tersebut.

Belum ada sebarang respons dari Beijing, kata Dr Fachir, tetapi langkah-langkah yang diambil oleh Jakarta bagi menyelesaikan konflik itu akan memastikan kestabilan, kerjasama dan hubungan dua hala yang baik antara dua negara tersebut.

China pelabur asing utama di Indonesia, tetapi hubungan ekonomi antara mereka tidak mungkin terjejas oleh pertikaian tersebut, kata Menteri Kewangan, Encik Bambang Brodjonegoro, pada Rabu.

"Presiden China dan Indonesia sangat rapat," ujarnya kepada agensi berita Reuters.

"Dalam soal Laut China Selatan, kami tidak mempunyai apa-apa isu."

Ketegangan tercetus pada Isnin selepas Indonesia menuduh bot peronda pengawal pantai China melanggar hak kedaulatannya dengan secara paksa menghalang pihak berkuasa maritim tempatan menyita bot nelayan China, Kway Fey.

China, bagaimanapun, menegaskan Kway Fey berada dalam "kawasan menangkap ikan tradisional China". Indonesia telah menolak tuntutan itu dengan keras.

Dua negara itu telah bersetuju bahawa Natuna dan perairan sekelilingnya milik Indonesia.

Panglima Tentera Laut Indonesia, Laksamana Ade Supandi, berkata dalam The Jakarta Post kejadian melibatkan kapal pengawal pantai China itu ialah "pertikaian menangkap ikan" dan bukan "isu pertahanan".

Sementara itu, dua kapal Taiwan yang mengelak pihak berkuasa maritim Indonesia dalam kejadian berasingan di Selat Melaka pada Isnin dijangka tiba di Singapura hari ini.

Kapal nelayan Sheng Te Tsai dan Lien I Hsing No. 116 dikesan menangkap ikan secara haram di perairan di timur laut Sumatera oleh bot peronda Indonesia.

Kementerian Ehwal Negeri Taiwan telah menuntut Indonesia menyediakan bukti bagi menyokong tuduhan itu.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 21
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.