Tiga lagi serpihan 'mungkin ada kaitan dengan MH370' ditemui

SYDNEY: Tiga serpihan baru yang boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ditemui di Mauritius dan Mozambique, kata Menteri Pengangkutan Australia pada Khamis (26 Mei).

Namun, nasib pesawat itu, yang dianggap terhempas di laut selepas hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal pada Mac 2014, masih menjadi misteri.

Lima serpihan yang ditemui sebelum ini dikenal pasti sebagai pasti atau mungkin dari pesawat Boeing 777 itu.

Kesemuanya ditemui beribu-ribu kilometer dari zon pencarian di dasar laut di luar pantai Australia Barat, di mana tiga kapal yang membawa peralatan canggih mengeruk dasar laut bagi mengesan pesawat tersebut.

Menteri Pengangkutan Darren Chester berkata dua daripada serpihan baru itu ditemui di Mauritius, sementara satu lagi di Mozambique.

"Kerajaan Malaysia belum mengambil serpihan-serpihan itu, bagaimanapun sebagaimana dengan serpihan sebelumnya, pegawai Malaysia sedang mengatur untuk mengambilnya dan ia dijangka dibawa ke Australia bagi pemeriksaan," kata Encik Chester dalam satu kenyataan.

Australia mengetuai operasi mencari pesawat MH370 di Lautan Hindi, dengan lebih 105,000 kilometer persegi daripada kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer telah diperiksa tanpa sembarang kejayaan.

Australia, Malaysia dan China telah berkata jika tiada apa ditemui selepas keseluruhan kawasan tersebut diperiksa dengan rapi, pencarian besar kemungkinan dihentikan.

Kebanyakan penumpang MH370 dari China.

Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Encik Martin Dolan, berkata operasi itu mungkin dihentikan pada Ogos, membuat rangkaian antarabangsa keluarga penumpang MH370, Voice370, menggesa ketiga-tiga negara itu supaya melanjutkan dan meluaskan pencarian. - AFP

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.