KES 1MDB: MAS RAMPAS ASET JHO LOW

Tindakan ke atas 3 bank di S'pura

PIHAK berkuasa akan mengambil tindakan terhadap beberapa institusi kewangan di sini termasuk DBS dan cawangan Singapura Standard Chartered Bank dan UBS berikutan kelemahan dalam kawalan pengubahan wang terlarang yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan bersama Pejabat Peguam Negara (AGC), Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), aset berjumlah $240 juta termasuk sekitar $120 juta milik Encik Low Taek Jho dan keluarga terdekatnya akan dirampas dan dibekukan.

"Kami ambil perhatian kenyataan Peguam Negara Amerika Syarikat pada 20 Julai 2016 yang bertindak merampas dan mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$1 bilion ($1.36 bilion) yang dikaitkan dengan konspirasi antarabangsa untuk menyalurkan dana yang ada kaitan dengan 1MDB," kata mereka.

"Siasatan Singapura bermula pada Mac 2015 dan masih berjalan," menurut kenyataan itu lagi yang berkata mereka masih meneruskan siasatan ke atas pelbagai dana 1MDB yang berkaitan dengan aliran melalui Singapura untuk melihat kemungkinan berlaku pengubahan wang terlarang, penipuan sekuriti, penipuan, dan kesalahan lain yang dilakukan di sini.

Pihak berkuasa Singapura juga menyebut satu nama baru dalam siasatan mereka - Raffles Money Change (RMC) - pengurup dan ejen pengiriman wang berlesen. MAS berkata ia sedang memuktamadkan tindakan kawal selia terhadap RMC dan siasatan terhadap institusi kewangan lain sedang berjalan.

Peguam Negara Amerika Syarikat, Cik Loretta Lynch, sebelum ini berkata bahawa sejumlah pegawai rasuah telah menjadikan dana pelaburan Malaysia, 1MDB, sebagai akaun bank peribadi mereka.

Beliau menyampaikan ucapan yang telah disiapkan bagi mengumumkan tindakan undang-undang bagi merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion ($1.36 bilion) termasuk hartanah mewah dan sebuah pesawat jet menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Ketiga-tiga agensi Singapura itu berkata bahawa aliran dana yang disiasat termasuk yang ada kaitan dengan Good Star Limited (Seychelles), Aabar Investments PJS Limited (BVI), Aabar Investments PJS Limited (Seychelles) dan Tanore Finance Corp (BVI).

Siasatan jenayah oleh CAD disasarkan kepada individu yang disyaki melakukan kesalahan di Singapura berkaitan aliran itu, manakala MAS menyiasat institusi kewangan di mana dana tersebut mengalir bagi memastikan apakah berlaku pelanggaran peraturan dan kecuaian kawalan.

MAS berkata ia telah menyelesaikan pemeriksaannya ke atas DBS dan cawangan Singapura Standard Chartered Bank dan UBS dan sedang memuktamadkan penilaiannya.

"Penemuan awal adalah terdapat contoh kegagalan kawalan dalam ketiga-tiga bank dan, dalam beberapa kes, kelemahan dalam proses menerima dan memantau urus niaga pelanggan. Terdapat juga kelewatan dalam mengesan dan melaporkan urus niaga yang mencurigakan," katanya.

Laporan lanjut:

Waktu Solat

Subuh
5:53
Syuruk
7:15
Zuhur
1:18
Asar
4:40
Maghrib
7:18
Isyak
8:31
3 HR PSI: 53
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.