Tinjauan: Rakyat M'sia prihatin soal kos berbanding politik

KUALA LUMPUR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, pengundi di Malaysia lebih prihatin dengan isu keperluan harian termasuk kenaikan sara hidup dan juga cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berbanding isu-isu politik, lapor The Malaysian Insight hari ini.

Beberapa penganalisis yang ditemubual laman berita itu berkata, walaupun pemimpin parti Umno dan PAS memberikan tumpuan kepada pindaan undang-undang syariah (RUU355) dengan menaikkan sentimen untuk menarik pengundi Melayu, mereka menjangka taktik menakut-nakutkan pengundi ini tidak akan memberi undi kepada mereka.

"Mereka boleh berjaya tunjukkan sokongan dalam perang psikologi tetapi untuk diterjemahkan dalam kotak undi belum tentu," kata Dr Redzuan Othman daripada Institut Darul Ehsan (IDE).

Menurut beliau, kajian yang dibuat pihaknya di Selangor mendapati, kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan tata kelola kerajaan yang baik mendapat mata tertinggi dalam menentukan siapa bakal diundi pada pilihan raya akan datang.

"Ketiga-tiganya mendapat undian lebih 50 peratus daripada responden," kata Dr Redzuan yang juga naib cancelor Universiti Industri Selangor (Unisel), pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri.

Seramai 2,018 responden terlibat dalam kajian yang dibuat antara 8 hingga 13 Februari lalu.

Dalam kajian itu, 78 peratus responden tidak bersetuju dengan pelaksanaan GST yang mula dilaksanakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 yang menyebabkan kenaikan harga barang.

Kajian itu juga mendapati 73 peratus responden tidak mahu GST diteruskan walaupun ia menjadi sumber pendapatan negara.

Kedua-dua pihak, PAS dan Umno menjadikan sentimen kaum dan agama sebagai retorik beberapa bulan lalu berikutan spekulasi pilihan raya umum akan diadakan tahun ini, seawal September nanti.

Umno cuba memberikan persepsi Pakatan Harapan (PH) bawah pimpinan parti Cina DAP.

Strategi ini bertujuan menakutkan pengundi Melayu yang sebarang undi untuk PH dalam pilihan raya nanti akan menyebabkan mereka hilang kuasa politik.

Beberapa pemimpin Umno termasuk Ketua Wanita Shahrizat Abdul Jalil, mendakwa pemimpin DAP, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika PH berjaya mengambil-alih Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

PAS pula cuba memperkuatkan imej Islamnya di kalangan umat Islam dengan membawa usul persendirian di Dewan Rakyat atau RUU355, yang bakal membawa hukuman lebih tegas terhadap umat Islam yang berzina dan minum arak.

Perbincangan mengenai usul ini memecahkan umat Islam dengan bukan Islam termasuk andaian usul ini bertujuan untuk melaksanakan hudud.

Kenyataan Dr Redzuan selari dengan kajian dibuat Invoke, badan penyelidik ditubuhkan Rafizi Ramli, ahli Parlimen Pandan.

Menurut kajian itu, hanya 10.4 peratus pengundi Melayu/Bumiputera Islam akan mengundi berpandukan isu RUU355 manakala 54.3 peratus daripada mereka yang berhasrat mengundi PAS tidak tahu mengenai RUU355.

Malah 70.1 peratus atau 30,173 pengundi Melayu/Bumiputera Islam langsung tidak mengetahui mengenai RUU355, manakala 19.5 peratus daripada mereka walaupun tahu mengenai RUU355, berasa ia bukan isu penentu undi dalam PRU14.

Kaji selidik Invoke itu dibuat sekitar Mac 2017 dan disertai 43,030 pengundi Melayu/Bumiputera Islam yang ditanya mengenai pengaruh RUU355 ke atas pilihan undi mereka.

Bagi Encik Mohamad Hisomuddin Bakar daripada Ilham Centre, retorik kaum dan agama mempunyai kesan kepada penduduk luar banda yang sudah lali dengan peningkatan kos sara hidup.

"Penduduk luar bandar juga kurang terdedah kepada maklumat baru berbanding di bandar. Pengundi luar bandar sudah biasa dengan kesusahan, jadi mereka tidak terlalu terpengaruh dengan hujah mengenai kos sara hidup.

"Oleh itu, mereka lebih cenderung mengundi mengikut sentimen," kata pengarah eksekutif Ilham Centre.

Hujahnya disokong hakikat yang parti PH, yang berkempen menggunakan mesej pembaharuan dan tadbir urus yang baik, menang di hampir semua kawasan bandar dan pinggir bandar pada PRU ke-13.

Sementara Umno, memenangi kebanyakan undi luar bandar.

Waktu Solat

Subuh
5:39
Syuruk
7:03
Zuhur
1:10
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30
3 HR PSI: 25
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,256.430 +40.730