Versi jihad Al-Qaeda songsang: Bekas tahanan ISA Malaysia

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Malaysia kini sedar perang yang diperjuangkan oleh kumpulan pengganas bukan jihad yang dihasratkannya.

Apabila Encik Abdul Manaf Kasmuri, 61 tahun, berjanji setia kepada kumpulan militan Al-Qaeda, beliau merancang membantu umat Islam yang ditindas di zon konflik di seluruh dunia.

Namun, tindakan kumpulan pengganas itu - pengganasan yang semain teruk dan tidak masuk akal - membuat bekas kolonel tentera itu menarik balik sokongannya.

"Ketika itu, jihad sangat bersih dan cantik. Jihad hanya tentang membantu sesama Muslim tanpa perlu menggunakan keganasan," katanya.

Encik Abdul Manaf, yang bercakap kepada media mengenai bahaya ideologi pelampau pada Sabtu (27 Ogos), berkata: "Pada mulanya, mereka mendapat sokongan saya. Tetapi ideologi mereka berubah dan diputarbelitkan."

Beliau ditahan di bawah ISA pada Februari 2003 kerana kaitannya dengan Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI). Beliau terpaksa bersara daripada tentera pada 1995 selepas sokongan rahsianya kepada pejuang Islam Bosnia diketahui.

"Penyokong mereka mula mempercayai bahawa tidak salah dan wajar 'mengeksport' pengganasan dari medan pertempuran ke tempat-tempat lain, tanpa mengira akibatnya," katanya.

"Mereka juga mula percaya jika mereka tidak dapat bunuh anda kerana mempunyai pandangan berbeza, membunuh rakan atau keluarga anda pun boleh. Tidak ada garis sempadan yang mereka tidak akan langgar. Pada mereka, sesiapa yang menentang mereka halal dibunuh," katanya.

Encik Abdul Manaf berkata kepercayaannya pada jihad membantu orang lain bermula apabila beliau dihantar ke Bosnia untuk misi pengaman pada awal 1990-an.

"Saya tidak menafikan ada beberapa orang yang menyertai kerana mereka benar-benar mahu membantu saudara Islam mereka yang ditindas. Tetapi ada juga yang berfikir bahawa mengangkat senjata satu-satunya cara untuk melawan," katanya.

Ada "banyak lapisan" bagi peperangan menentang pengganasan, ujar beliau.

"Pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk memerangi versi songsang Islam yang didukung orang-orang ini dan pengganasan yang datang bersamanya... Mereka juga perlu menangani kepercayaan penyokong mereka di Malaysia pada perjuangan sesat itu." - The Star/Asia News Network

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:16
Asar
4:39
Maghrib
7:17
Isyak
8:30
3 HR PSI: 53
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,013.120 -11.950