Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Warren Buffett selar Trump, persoal kepintaran perniagaannya

Aug 02, 2016 | 03:03 PM



OMAHA (Nebraska): Pelabur jutawan Warren Buffett berkempen pada Isnin (1 Ogos) untuk calon presiden Demokrat, Cik Hillary Clinton, dalam satu perhimpunan di negeri kelahirannya, Nebraska, di mana beliau mencabar calon Republikan, Encik Donald Trump, supaya menyiarkan penyata cukainya, dan mempersoal kepintaran perniagaan beliau.



Encik Trump telah berkata beliau tidak boleh menyiarkan penyata cukainya, perkara biasa yang dilakukan calon presiden Amerika, sehingga Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) menyelesaikan auditnya.



Encik Buffett, pemilik konglomerat Berkshire Hathaway yang berpangkalan di Omaha, berkata: "Saya sedang diaudit juga, dan saya amat berbesar hati untuk bertemu dengannya di mana sahaja, bila-bila masa sahaja, sebelum pilihan raya.



"Saya akan membawa penyata cukai saya, beliau boleh bawa penyata cukainya... dan biar orang ramai bertanya mengenai perkara yang berada di penyata itu," ujar beliau, sambil mengatakan Encik Trump bukan "takut" pada IRS tetapi pengundi.



Sebagai respons, jurucakap Encik Trump, Cik Hope Hicks, berkata: "Seperti yang anda tahu, Encik Trump sedang menjalani audit rutin."



Beliau tidak mempunyai komen segera apabila diminta mengulas kenyataan Encik Buffett bahawa beliau juga sedang diaudit tetapi akan menyiarkan penyata cukainya.



Encik Trump pernah menegaskan bahawa kejayaannya sebagai seorang ahli perniagaan melayakkan beliau memimpin Amerika, tetapi Encik Buffett, yang menyokong Cik Clinton pada pilihan raya Nov 8, berkata Encik Trump kehilangan wang semasa julung-julung kalinya beliau meminta rakyat Amerika melabur.



Encik Buffett berkata ia berlaku pada 1995 apabila Encik Trump menyenaraikan hotel dan resort kasino Trump beliau di Bursa Saham New York. Beliau berkata syarikat itu kehilangan wang setiap tahun sepanjang 10 tahun seterusnya.



Monyet pun akan mengatasi prestasi syarikat Encik Trump, kata Encik Buffett, yang bercakap hampir 30 minit kepada daripada kira-kira 3,100 hadirin di sebuah sekolah tinggi di Omaha, dengan Cik Clinton duduk di sisinya.



Encik Buffett juga menolak komen Encik Trump bahawa beliau "telah melakukan banyak pengorbanan", semasa mengulas kenyataan bapa seorang askar Amerika, Kapten Khirz Khan, yang terbunuh di Iraq 12 tahun lalu.



Encik Buffett berkata: "Tiada seorang pun anggota keluarga Buffett pergi ke Iraq atau Afghanistan (untuk berperang). Tiada seorang pun anggota keluarga Trump pergi ke Iraq atau Afghanistan."



"Kami berdua mencapai kejayaan amat baik semasa tempoh itu dan keluarga kami tidak mengorbankan apa-apa." - Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >