Audit: Ada silap pendedahan tetapi tidak jejas keputusan SingPost beli dua syarikat

LAPORAN ke atas pembelian dua syarikat penghantaran oleh Singapore Post (SingPost) telah menemui kesilapan pendedahan.

Namun, kesilapan itu tidak memberi kesan terhadap keputusan lembaga pengarah SingPost meneruskan pengambilalihan dua syarikat tersebut, F. S. Mackenzie dan Famous Pacific Shipping (New Zealand).

Bagaimanapun, ringkasan eksekutif laporan oleh juruaudit Drew & Napier dan PricewaterhouseCoopers itu menyelar seorang pengarah SingPost, Encik Keith Tay, kerana kelewatan dalam mendedahkan kepentingannya dalam firma yang menyediakan khidmat nasihat mengenai pembelian tersebut, Stirling Coleman.

SingPost terbabit dalam kontroversi Disember lalu selepas timbul isu apakah kepentingan Encik Tay dalam tawaran pembelian itu telah didedahkan dengan betul dan apakah SingPost mungkin telah terlebih bayar.

Laporan yang dikeluarkan pada Selasa (3 Mei) itu mendapati satu pendedahan salah pada 2014 berkaitan pembelian F.S. Mackenzie adalah disebabkan "kecuaian" dalam penyediaan dan semakan oleh pihak tertentu SingPost.

Ia mendapati Encik Tay telah mengisytiharkan kepentingannya sebagai pengerusi bukan eksekutif dan pemegang 34.5 peratus saham Stirling Coleman, penasihat kewangan kepada penjual F.S. Mackenzie.

Tetapi satu draf pengumuman Bursa Saham Singapura (SGX) tertinggal maklumat tersebut, dan ini tidak disedari pasukan kesetiausahaan korporat SingPost.

Mengenai pengambilalihan Famous Pacific Shipping (New Zealand), yang diumum pada 14 Jan tahun lepas, perenggan mengenai "pegangan saham dan kepentingan mengawal pengarah", yang akan mendedahkan kepada awam bahawa Stirling Coleman memberi khidmat nasihat itu dan Encik Tay pengerusinya, langsung tidak dimasukkan.

Juruaudit tidak menuding jari pada mana-mana pihak berhubung kesilapan ini.

Mereka juga menyatakan bahawa Encik Tay telah mendedahkan kepentingannya kepada Famous Holdings, yang memiliki Famous Pacific, tetapi tidak kepada jawatankuasa eksekutif SingPost, pihak berkuasa yang meluluskan perjanjian itu.

Walaupun terdapat kesilapan pendedahan, juruaudit khas itu membuat kesimpulan bahawa "tidak ada sesuatu yang mencadangkan bahawa undi Encik Tay mempengaruhi atau sebaliknya kelulusan akhir bagi pengambilalihan itu".

Encik Tay mengeluarkan satu kenyataan pada Selasa malam untuk mengatakan beliau telah meletakkan jawatan sebagai pengarah bebas utama SingPost berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, SGX mengingatkan syarikat pada Selasa malam mengenai peraturan berkaitan urus niaga yang memerlukan kepentingan pengarah didedahkan.

Ia berkata lembaga syarikat bertanggungjawab bagi pengumuman itu dan tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya kepada para profesional.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.