CEO Malaysia Airlines berhenti selepas hanya setahun

KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Encik Christoph Mueller, telah meletak jawatan, hanya setahun selepas mengambil jawatan itu untuk merombak syarikat penerbangan tersebut.

Warga Jerman berusia 54 tahun itu, yang juga pengarah urusan MAB, meletak jawatan "kerana perubahan keadaan peribadi", kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Selasa (19 Apr).

Syarikat penerbangan nasional itu telah mula mencari pengganti dari dalam dan luar, sementara Encik Mueller memenuhi tempoh notis enam bulan hingga September.

Beliau kekal sebagai pengarah bukan eksekutif dalam lembaga MAB.

"Malangnya, keadaan peribadi akan menyukarkan saya menyempurnakan penggal penuh saya," kata Encik Mueller dalam satu kenyataan syarikat penerbangan itu, tanpa mengulas lanjut.

Beliau sebelum ini telah membantu memulihkan syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus, dan dibawa masuk oleh MAB di bawah kontrak tiga tahun, sebagai sebahagian daripada penyusunan semula syarikat penerbangan itu untuk memulihkannya daripada kerugian dan merombak imejnya berikutan dua bencana pesawat terbang pada 2014.

Beliau menyertai lembaga syarikat penerbangan itu pada Januari tahun lalu, dan secara rasmi mengambil alih sebagai ketua eksekutif daripada Encik Ahmad Jauhari Yahya pada 1 Mei tahun sama.

Ketua pegawai operasi MAB, Encik Peter Bellew, telah dilantik sebagai pengarah eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

Dana kekayaan negara Malaysia, Khazanah Nasional, pemilik tunggal MAB, berkata dalam satu kenyataan berasingan ia akan membuat perancangan bagi penggantian ketua eksekutif baru syarikat penerbangan itu melalui perundingan dengan lembaga MAB dan Kementerian Kewangan.

Ia juga berkata pelan pemulihan syarikat penerbangan itu berada "di landasan betul".

MAB dikenali sebagai Malaysia Airlines Systems Berhad (MAS) sebelum penyusunan semula besar pada Ogos 2014, dengan syarikat penerbangan itu dikeluarkan daripada bursa saham tempatan pada Disember 2014, pelantikan pengurusan kanan baru dan 6,000 pekerja diberhentikan.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.