ASPIRASINYA mahu membangunkan estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang bukan sahaja sedap dipandang mata, malah dapat memupuk jalinan antara masyarakat berbilang agama dan budaya di Singapura telah mendorong Tengku Sharil Tengku Abdul Kadir mendapatkan biasiswa daripada HDB bagi melanjutkan pelajaran di luar negara dalam bidang seni bina.
Bagi Encik Muhamad Haziq Jamaludin pula, minatnya dalam keajaiban bangunan dan kesannya kepada gaya hidup penduduk mendorong beliau mendapatkan biasiswa daripada Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) bagi meneruskan pelajaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang kejuruteraan dengan pengajian minor dalam bidang pengurusan.