Firma IT berusia suku abad rombak niaga agar kekal relevan

Syarikat teknologi maklumat (IT) Singapura milik Melayu/Islam telah menyejagat bagi menyediakan khidmat dan kepakaran mereka ke luar negara. NORHAIZA HASHIM (norhaiza@sph.com.sg) menemu ramah dua daripada syarikat itu.

PERUBAHAN teknologi maklumat (IT) yang pesat memerlukan seorang peniaga yang cekap merombak perniagaan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah.

Itulah yang dilakukan Encik Abu Omar yang mengasaskan perniagaan IT, LANWorks, sekitar 25 tahun lalu.

"Bermula pada awal 1990an, komputer peribadi (PC) masih baru. Permintaan cukup besar bagi mengedarkan hadwe komputer dan server kepada syarikat. Sebanyak 80 peratus penjualan kami merupakan hasil penjualan hadwe dan kami mencatatkan keuntungan yang baik," kata Encik Abu.

Beliau memulakan perniagaannya di sebuah pejabat kecil di Paradiz Centre di Selegie Road tetapi kini beroperasi di pejabatnya di Alexandra Road.

Keadaan mula berubah pada pertengahan 1990-an apabila banyak syarikat komputer seperti Hewlett-Packard (HP) menjual hadwe mereka secara langsung kepada syarikat, lantas menjejas syarikat sepertinya.

Kemudian, peralihan kepada tablet dan telefon bimbit bijak juga menjadikan permintaan PC berkurangan.

"Apabila teknologi berubah, perniagaan kami juga terpaksa disesuaikan supaya kekal relevan.

"Saya dapati banyak syarikat IT yang tidak berubah terpaksa ditutup," kata Encik Abu.

Agar kekal relevan, syarikat itu memikirkan hala tujunya dan akhirnya memutuskan memberi tumpuan kepada penjualan sofwe dan huraian komputer.

Sebagai seorang akauntan terlatih, sofwe perakaunan menjadi tumpuan syarikat itu pada awalnya bagi membantu syarikat mengendalikan tugas dan memperbaiki daya penghasilan mereka.

Kemudian, sofwe itu diluaskan kepada huraian lain yang berguna kepada syarikat, seperti sofwe bagi menguruskan perhubungan pelanggan (CRM).

Kini, 90 peratus penjualan syarikat itu dikuasai hasil penjualan sofwe dan huraian kepada syarikat lain.

Malah, LANWorks mempunyai tukikan dalam menyediakan sofwe bagi pasaran sektor penjagaan jangka panjang dan kebajikan yang digunakan tujuh rumah penjagaan jangka panjang, contohnya rumah penjagaan warga tua, di Singapura.

Menggunakan tablet, kakitangan, pakar perubatan dan anggota keluarga penghuni, rumah-rumah penjagaan jangka panjang itu dapat mengetahui maklumat penghuni dan berkomunikasi secara langsung antara satu sama lain mengenai ubat atau sokongan yang diperlukan penghuni itu.

Melihat sambutan yang baik bagi sofwe itu yang dicipta LANWorks, syarikat tersebut memasarkan aplikasi itu ke London dan digunakan oleh beberapa rumah penjagaan jangka panjang di sana.

Selain London, syarikat itu juga berkembang ke Manila, Filipina, yang menempatkan pejabat sokongan bagi pelanggannya di rantau itu.

Ternyata strategi yang diambil membuahkan hasil apabila syarikat IT yang menggajikan 44 kakitangan di dalam dan luar negara itu, bukan sahaja dapat bertahan malah berkembang lebih jauh lagi.

Yakin dengan hala tuju syarikat, Encik Abu berkata beliau telah melepaskan tugas operasi harian syarikat kepada kakitangan kanannya - kesemuanya wanita - bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada pembangunan strategik syarikat.

Operasi perniagaan di Singapura kini diuruskan Cik Roslinah Jamil, yang menjawat jawatan Pengarah Urusan (MD) bagi syarikat di Singapura, dan Cik Charmaine Chong, MD Kumpulan syarikat itu.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 67
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.