Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Harga flat HDB dijangka stabil

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

PERBINCANGAN MEJA BUNDAR BH

Harga flat HDB dijangka stabil

Dec 10, 2017 | 05:30 AM



Isu-isu berkaitan pasaran hartanah setempat dikupas dalam satu perbincangan meja bundar yang dianjurkan Berita Harian baru-baru ini. Antara tajuk yang diutarakan ialah pandangan pengamat industri tentang pasaran flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan hartanah privet pada tahun depan serta panduan membeli hartanah. ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg) dengan laporannya.



HARGA flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijangka terus stabil tahun depan, dengan kenaikan paling tinggi sebanyak 5 peratus.



Kestabilan pasaran itu juga bermakna pemilik flat tidak lagi dapat meraih keuntungan daripada jual beli flat seperti pada masa lalu.



Pandangan itu dikongsi pengamat industri semasa membincangkan hala tuju pasaran flat HDB.



Bagi lima tahun mendatang, mereka menjangka harga meningkat tidak lebih daripada 10 peratus.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cityhomes, Encik Mohd Amin Mohd Zain, berkata kegiatan jual beli dalam pasaran HDB mula rancak sejak enam bulan lalu, menyusuli langkah meredakan pasaran dan meningkatkan bekalan flat Bina Ikut Tempahan (BTO).



"Harga flat tidak mungkin melonjak seperti tiga atau empat tahun lalu, ia akan lebih mantap. Rakyat juga kini lebih berminat membeli kerana harga lebih dimampui.



"Justeru, saya menjangka harga flat HDB naik 5 peratus hingga 10 peratus, kalau tidak pun ia mendatar, bergantung pada tempat," ujarnya.



Misalnya, beliau berkata harga flat di kawasan seperti Punggol dan Sengkang tidak akan meningkat tinggi tahun depan, berbanding flat di daerah seperti Bendemeer dan Bidadari yang lebih dekat dengan bandar.



Pengarah Kanan Divisyen Kumpulan ERA Realty, Encik Muhd Syafiq Mohd Esa, atau lebih dikenali sebagai Syafiq Focus, berkata harga flat turun sekitar 1 peratus bagi Januari hingga September tetapi mula stabil selepas tempoh itu.



"Ini kerana penjual dan pembeli tiada sebab mengambil tindakan jual beli kerana adanya bekalan yang mencukupi.



"Misalnya, ada 5,000 flat BTO ditawarkan di estet matang. Oleh sebab tiada keadaan berlumba-lumba dalam pasaran, harga akan stabil tahun depan," terangnya, yang menganggarkan kenaikan 1 peratus tahun depan.



Melahirkan sentimen serupa, CEO PropNex Realty, Encik Ismail Ghafoor, menjelaskan bahawa flat HDB harus dilihat sebagai rumah untuk dihuni, bukan aset membuat keuntungan.



Hasil daripada langkah meredakan pasaran sejak beberapa tahun lalu, kadar kenaikan harga flat yang tinggi dahulu tidak mungkin berlaku lagi pada masa depan.



"Kita mahukan pertumbuhan yang mapan agar generasi mendatang mampu membelinya.



"Jika kita imbas semula, pada 2006 hingga 2008, harga flat HDB meningkat sebanyak 10 peratus hingga 17 peratus dalam setahun. Ini bermakna harga sebuah flat akan berganda dalam masa lima tahun.



"Bagi mengelak hal itu terus berlaku, sejak beberapa tahun lalu, pemerintah menambah bekalan flat BTO bagi memastikan harga flat stabil," ujarnya.



Encik Ismail menganggarkan kenaikan harga flat sehingga sebanyak 2 peratus tahun depan serta peningkatan tidak melebihi 10 peratus bagi lima tahun mendatang.



Apabila ditanya adakah flat HDB terus dimampui oleh semua lapisan warga Singapura, pengamat sebulat suara bersetuju ia tetap memenuhi matlamatnya sebagai perumahan awam.



Bahkan, jika dibandingkan dengan lima atau 10 tahun lalu, hari ini terdapat lebih banyak pilihan dan geran bagi membantu rakyat.



"HDB sangat berhati-hati dalam meletakkan harga flat bagi menyesuaikannya dengan kemampuan pasangan muda.



"Kami juga dapat lihat kadar langganan bagi permohonan flat tetapi tinggi, bermaksud harga flat masih dalam kemampuan pembeli dan permintaan terus tinggi," ujar Encik Amin.



Apa yang penting, pembeli harus menilai kemampuan mereka.



"Jika CPF (Tabung Simpanan Pekerja) seseorang ada dalam $300,000, orang itu boleh membeli flat BTO di Bidadari, tetapi kalau tiada, beliau boleh melihat ke kawasan seperti Woodlands - yang menawarkan flat empat bilik pada harga kurang $300,000," nasihat Encik Amin.



Encik Ismail menambah, kini banyak geran ditawarkan bagi menolong pembeli.



"Geran ditawarkan sekarang adalah sehingga $60,000 bagi membantu dan menyokong warga membeli rumah pertama mereka.



"Kini BTO ditawarkan di kawasan matang dan bukan matang. Kalau dahulu, pilihan rumah baru lazimnya di Punggol atau Sengkang. Kini ia ditawarkan di daerah seperti Geylang dan Tampines," katanya.



Sebanyak 17,584 unit flat BTO telah dilancarkan tahun ini.




PEMBELI HARUS MENILAI KEMAMPUAN



"Jika CPF (Tabung Simpanan Pekerja) seseorang ada dalam $300,000, orang itu boleh membeli flat BTO di Bidadari, tetapi kalau tiada, beliau boleh melihat ke kawasan seperti Woodlands - yang menawarkan flat empat bilik pada harga kurang $300,000."
- Encik Mohd Amin Mohd Zain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cityhomes.



KETAHUI LATAR BELAKANG EJEN HARTANAH



"Anda tidak boleh terlalu percaya sangat seseorang ejen sehinggakan anda tidak ambil tahu apa yang diuruskan dan menyerah bulat-bulat urus niaga rumah kepada mereka.

Ramai anggota masyarakat kita terlalu percaya sehingga ada yang ambil kesempatan dan menipu."
- Encik Ismail Ghafoor, CEO PropNex Realty.



YAKIN AKAN PELABURAN YANG DIBUAT



"Pemikiran kurang yakin ini perlu 'ditembusi' terutama bagi yang benar-benar mampu dan memiliki wang CPF mencukupi agar mereka dapat menikmati peningkatan modal."
- Encik Muhd Syafiq Mohd Esa, Pengarah Kanan Divisyen Kumpulan ERA Realty.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >