Peraturan lebih jelas berkaitan pembayaran premium insurans bermula 1 Sep

PERATURAN lebih jelas yang akan mengurangkan pertikaian tuntutan antara syarikat insurans dan pelanggan dek kelewatan atau tidak membayar premium berkuat kuasa mulai Khamis (1 Sep).

Ia diguna pakai bagi semua polisi insurans am, termasuk kenderaan dan insurans perjalanan, kata Persatuan Insurans Am Singapura (GIA) dalam satu kenyataan pada Rabu (31 Ogos).

Peraturan itu menyatakan premium perlu dibayar kepada syarikat insurans atau pengantara pada atau sebelum tarikh mula atau pembaharuan perlindungan.

Jika premium tidak dibayar kepada syarikat insurans atau pengantara pada masa itu, tiada sembarang perlindungan atau manfaat perlu dibayar oleh syarikat insurans.

Sekiranya terdapat kes tidak bayar khas, syarikat insurans digesa mengkajinya atas dasar kes demi kes dan dalam masa munasabah untuk memastikan hasil yang adil.

Peraturan baru itu diperkenal sebagai semakan ke atas Rangka Kerja Pembayaran Premium (PPF) yang mengawal industri itu.

GIA menyenaraikan empat perkara lain yang perlu diambil perhatian dalam semakan PPF itu:

Dalam soal memperbaharui insurans kenderaan sedia ada, syarikat insurans harus memaklumkan pemegang polisi bahawa mereka perlu memperbaharui polisi mereka sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh luput.

Jika pemegang polisi gagal membayar premium sebelum permulaannya, faedah tidak akan dibayar.

Bagi mereka yang membeli polisi peribadi seperti insurans perjalanan melalui saluran dalam talian dan mesin AXS, perlindungan bermula hanya apabila pembayaran berjaya.

Sekiranya dana tidak mencukupi dan pembayaran tidak berjaya, syarikat insurans tidak akan bertanggungjawab untuk menyediakan perlindungan.

Bagi pemegang polisi komersial, termasuk perniagaan dan pertubuhan pemerintah, rangka kerja yang disemak semula itu membolehkan syarikat insurans meminta mereka membayar dalam tempoh 60 hari dari tarikh mula polisi.

Di peringkat industri, rangka kerja baru itu menyatakan syarikat insurans yang menaja jamin polisi baru tidak harus mula menyediakan perlindungan tanpa pengesahan bertulis daripada syarikat insurans sebelumnya.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:10
Asar
4:15
Maghrib
7:13
Isyak
8:22
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 3,173.240 -11.330