Temasek Holdings timbang ambil alih SMRT

Sumber: Syarikat pelaburan negara itu mahu membeli baki taruhan yang masih belum dimiliki

SYARIKAT pelaburan negara, Temasek Holdings dilaporkan sedang membuat pertimbangan mengambil alih tawaran bagi SMRT Corp Ltd - syarikat pengendali pengangkutan awam Singapura.

Agensi berita Bloomberg, melaporkan bahawa Temasek Holdings sedang menimbangkan satu tawaran bagi membeli semua saham yang tidak dimilikinya dalam SMRT.

Agensi tersebut menukil sumber yang dikatakan mengetahui hal tersebut.

Sumber itu bagaimanapun enggan namanya dikenalpasti kerana maklumat itu adalah satu maklumat privet.

Buat masa ini, Temasek mempunyai 54 peratus taruhan dalam SMRT, yang mempunyai nilai pasaran sekitar $2.4 bilion (AS$1.7 bilion) di Singapura, menurut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

SMRT menerima kritikan daripada pihak awam disebabkan beberapa gangguan perkhidmatan yang berlaku sejak empat tahun lalu. Ini sedang ia terus mengembangkan lagi rangkaiannya.

Pada 15 Julai lalu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan SMRT akan memindahkan $991 juta aset berkaitan landasan dan isyarat MRT kepada LTA, yang mempunyai kesan memberikan syarikat itu dana bagi mendapatkan lebih banyak pekerja dan membaiki penyenggaraan keretapi.

SMRT pula akan membuat bayaran lesen bagi mengendalikan Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL), Laluan Circle (CCL) dan LRT Bukit Panjang (BPLRT), serta meraih hasil daripada rangkaian kereta api itu.

"Menguruskan sistem pengangkutan akan menjadi lebih mudah.

"Ini akan membantu mengurangkan tekanan bagi menjawab pemilik saham sedang pemerintah menangani tekanan awam. Rangka kerja baru yang diumumkan minggu lalu akan dapat berjalan secara sehaluan," kata seorang pakar ekonomi Perbankan Privet CIMB, Encik Song Seng Wun, yang ditukil laporan Bloomberg.

Saham SMRT terhenti daripada perniagaan pada Jumaat lalu sebelum pengumuman penjualan aset tersebut.

Semalam, SMRT menyatakan bahawa ia akan terus menghentikan dagangan, bergantung pada kemungkinan pengumuman selanjutnya.

Menurut seorang yang mengetahui hal tersebut, tawaran bagi pengambilalihan yang berpotensi itu masih dalam perbincangan dan tiada kepastian ia akan berhasil sebagai satu urusniaga.

"Kami tidak membuat komen tentang spekulasi pasaran atau berita angin," kata jurucakap bagi Temasek, Encik Stephen Forshaw, menerusi e-melnya kepada Bloomberg.

SMRT juga tidak mahu membuat sebarang komen bagi spekulasi dan berita angin, kata jurucakap SMRT, Encik Patrick Nathan, dalam kenyataan e-melnya kepada agensi tersebut.

Temasek, yang mempunyai lebih daripada separuh asetnya di China dan Singapura, bulan ini berkata nilai taruhannya merosot 9 peratus kepada $242 billion bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac lalu.

Firma pelaburan Singapura itu menjana $30 bilion dalam pelaburan baru bagi tempoh 12 bulan pada Mac lalu.

SMRT buat masa ini beroperasi pada tiga laluan MRT di Singapura.

Pesaingnya, SBS Transit Ltd, pula mengendalikan khidmat pada dua laluan MRT.

Singapura sedang membina laluan MRT keenamnya, yang akan mula beroperasi pada 2019.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.