Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Bekal perabot hotel mewah Dubai di era pandemik hasil bantuan ESG, Pusat SME@DPPMS

Agensi pemerintah, Enterprise Singapore (ESG) berharap syarikat tempatan akan terus mempergiat usaha meluaskan perniagaan mereka ke luar negara tahun ini disokong oleh inovasi.Tahun lalu, ESG membantu lebih 22,000 syarikat dalam daya penghasilan dan peningkatan keupayaan. Ia adalah 44 peratus lebih tinggi berbanding 2020. Apabila direalisasikan, usaha ini dijangka menjana 23,000 pekerjaan mahir dalam ekonomi Singapura. BERITA MINGGU (BM) menemu ramah dua syarikat yang menyejagat di sebalik Covid-19 hasil bantuan ESG serta dewan perniagaan.
Feb 13, 2022 | 05:30 AM



MELIHAT bagaimana Dubai masih dibuka lebih pantas daripada pasaran lain semasa pandemik Covid-19, syarikat pengilang perabot tempatan, Onestop Singapore, mengorak langkah menembusi pasaran itu dengan harapan untuk meneroka pasaran Timur Tengah yang lebih luas.



Dengan sokongan Enterprise Singapore (ESG) dan Pusat Syarikat Kecil Dan Sederhana (SME) di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), syarikat itu mendapatkan nasihat mengenai pasaran itu serta mendapatkan seorang wakil pembangunan perniagaan tahun lalu.



Hasilnya, syarikat itu telah pun mendapat dua projek membekalkan perabot bagi hotel mewah, Movenpick Resort Ras Al Khaimah dan kafe pantai mewah, Ula Ras Al Khaimah.



Tetapi ia bukanlah projek luar negara pertama bagi syarikat itu, yang dibentuk bersama oleh Encik Shaffiq Olia, 43 tahun, dan Encik Sung Tze Yang, 42 tahun, sejak 2008.



Sejak lebih sedekad, syarikat itu telah membekalkan perabot ke hotel dan resort di Fiji dan Maldives seperti Niyama Private Islands, Jumeirah Maldives dan Waldorf Astoria Maldives kerana keluarga Encik Shaffiq mempunyai perniagaan dagangan bahan binaan di sana.



Di Singapura, perabot di luar Capella Singapore dan Mandarin Orchard juga direka dan dikilangkan oleh Onestop.



Syarikat itu mempunyai pemilikan perkongsian sebanyak 40 peratus dalam kilang perabot di China, yang menghasilkan perabot di kilang mesin dan 70 peratus di Solo, Indonesia, yang menghasilkan perabot ukiran tangan.



Hasilnya, syarikat itu dapat menawarkan perabot rekaan ke hotel dan resort pada harga yang lebih rendah sekitar 40-50 peratus apabila ia dibentuk pada 2008 kerana tidak perlu bergantung kepada pihak ketiga, berbanding syarikat-syarikat perabot lain yang biasanya membekalkan ke hotel dan resort.



Mengulas mengenai peluasan syarikat itu di Dubai, Encik Shaffiq menjelaskan bahawa pasaran Timur Tengah merupakan pasaran yang berkembang dan banyak projek-projek baru sedang dibina seperti di Arab Saudi.



"Dubai merupakan pusatnya dan dikenali sebagai pasaran mesra pelabur asing. Apabila Covid-19 melanda, kami dapati kami dapat berfungsi di mana sahaja tanpa perlu berada di negara itu secara fizikal.



"Ini jelas melalui usaha kami mendapatkan kumpulan kawalan mutu di China dan Indonesia yang membuat pemeriksaan di kilang-kilang kami.



"Kami mendapatkan nasihat Pusat SME@DPPMS dan dibantu oleh penasihat perniagaan mereka. Beliau menjelaskan bahawa kami boleh mendapatkan geran Bantuan Persediaan Pasaran (MRA) yang membolehkan kami menggajikan seorang pengurus pembangunan perniagaan. Hasilnya, kami mendapat subsidi sebanyak $50,000 dan ia amat membantu,'' jelas Encik Shaffiq.



Melalui kenalan mereka di Dubai, Onestop juga mendekati pejabat ESG di Dubai yang banyak membantu memberikan maklumat berguna mengenai pasaran itu.



Dengan adanya pengurus pembangunan perniagaan di Dubai, beliau membantu memasarkan khidmat Onestop kepada beberapa pelanggan berpotensi dan berjaya mendapatkan dua projek di Dubai.



Syarikat itu merancang melaburkan sehingga $100,000 untuk membuka sebuah pejabat dan gudang di Dubai.



Buat masa ini, syarikat itu sedang mengatur untuk menghantar perabot pertama mereka ke Dubai.



"Apabila meneroka pasaran baru, kita perlu tahu undang-undang mereka dan dokumen yang diperlukan. Ia juga penting mempunyai rakan kongsi logistik yang dapat membantu. Rangkaian niaga yang luas amat membantu,'' jelas Encik Shaffiq.



Nasihat beliau bagi syarikat yang ingin meneroka pasaran luar negara ialah agar mereka dapat memanfaatkan geran-geran yang disediakan bagi SME serta jaringan luas dan nasihat yang boleh diberikan oleh Pusat SME@DPPMS dan ESG.





"Dubai merupakan pusatnya dan dikenali sebagai pasaran mesra pelabur asing. Apabila Covid-19 melanda, kami dapati kami dapat berfungsi di mana sahaja tanpa perlu berada di negara itu secara fizikal.

Ini jelas melalui usaha kami mendapatkan kumpulan kawalan mutu di China dan Indonesia yang membuat pemeriksaan di kilang-kilang kami.''


- Encik Shaffiq Olia.





Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >