Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Alin dan Siti 'selami' minda gadis Melayu di rantauan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Alin dan Siti 'selami' minda gadis Melayu di rantauan

Mereka berdua bersatu bagi monolog 'Rosnah' dalam bahasa Melayu khusus bagi Pesta Raya anjuran Esplanade bulan depan
Jul 19, 2016 | 05:30 AM



DUA dekad lalu, ketika aktivis teater Alin Mosbit diamanahkan The Necessary Stage agar bermonolog bagi pementasan Rosnah yang menyentuh tentang langkah berani seorang gadis Melayu memburu ilmu di London, hatinya dibelenggu bermacam-macam persoalan.



"Mampukah saya berlakon seorang? Tapi isu rasa bimbang, resah dan takut seorang gadis Melayu yang belajar di rantauan ini memang tidak boleh dinafikan wujud dulu.



"Berapa ramailah yang ke luar negara ketika itu berbanding zaman sekarang? Dulu, ia pengalaman baru. Sekarang ini, hampir setiap minggu, ada sahaja kisah anak Melayu ke luar negara bagi pengajian, pekerjaan atau mengembara.



"Saya yang buat julung-julung kalinya berjauhan daripada keluarga bagi siri bengkel teater di Glasgow dah dapat rasakan keresahan itu," singkap Alin, 43 tahun, dalam pertemuan bersama Gah! di Maktab Seni Lasalle, baru-baru ini.



Perasaan yang sama turut menyaluti jiwa seorang lagi aktivis teater yang boleh dibanggakan, Siti Khalijah Zainal, ketika menerajui watak Rosnah sedekad yang lalu bagi pementasan Pesta Teater M1.



Tatkala itu, usianya baru 21 tahun dan masih baru dalam bidang teater. Timbul tanda tanya mampukah tugas bermonolog dalam bahasa Inggeris itu digalas dengan baik?



Bagaimanapun, Siti Khalijah, kini 31 tahun, mendapat jaminan daripada Alin bahawa beliau mampu melakukannya sebaik mungkin.



Kini, kededuanya bersatu sekali lagi bagi monolog Rosnah yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Alin khusus bagi Pesta Raya anjuran Esplanade, bulan depan.



Rosnah yang dipentaskan dari 4 Ogos hingga 7 Ogos ini di Studio Teater Esplanade, membentangkan suara hati seorang wanita Melayu dalam interaksinya bersama teman rantauan daripada berbilang kaum, agama dan perwatakan.



Pesta Raya edisi ke-15 itu dikendalikan dengan sokongan Singapore Press Holdings (SPH) dan siri SPH Gift of Music.



Bezanya daripada pementasan terdahulu, Rosnah turut menyentuh tentang prasangka terhadap Islam atau masyarakat Islam yang dipanggil sebagai Islamophobia khususnya dengan kewujudan pelbagai peristiwa pengganasan di luar negara.



Pengarah artistik The Necessary Stage, Alvin Tan, yang dianggap kededua Alin dan Siti sebagai "lebih Melayu daripada Melayu'" mengarah Rosnah edisi Pesta Raya ini.



"Sekitar 20 tahun lalu, apabila monolog ini diilhamkan, memang tidak ramai gadis yang melangkah ke luar negara.



"Watak Rosnah ini bercita-cita tinggi dan mendapat biasiswa melanjutkan pengajiannya di London. Ada perkara yang masih membebani fikirannya. Beliau mahu jadi tokoh Melayu yang berjuang demi bangsa. Unsur patriotik itu begitu menebal di jiwanya.



"Monolog ini diilhamkan selepas saya sendiri merasakan pengalaman berada di negara 'Mat Salih' buat kali pertama. Sebabnya, pementasan yang difikirkan pada awalnya tidak menjadi. Maka kami beralih menghasilkan Rosnah," cerita Alin.



Beliau, dalam pada itu, bersyukur ada bakat berpotensi besar seperti Siti Khalijah yang mengambil alih amanah menghidupkan watak Rosnah kini.



"Siti ni jenis pelakon yang akan memberikan lebih daripada apa yang kita jangkakan. Beliau berpotensi dan saya gembira ada pelapis sepertinya yang boleh kita banggakan," tambah Alin.



Siti Khalijah pula dengan merendah hati mengulas:



"Sewaktu Rosnah mula dipentaskan pada 1990-an, saya masih kecil lagi dan tak tahu apa-apa tentang teater.



"Pada 2006, saya merasakan amanah bagi pelakon berusia 21 tahun seperti saya begitu berat menjayakan watak Rosnah.



"Saya bersyukur kerana dapat menghidupkan lagi watak ini kerana 10 tahun lalu memang saya rasa tak puas. Penghayatan saya kurang mendalam. Mungkin juga kerana usia saya masih muda dan masih hijau dalam bidang teater, maka saya rasakan ada banyak kekosongan pada penyampaian saya yang perlu diperbaiki."



Teras utama monolog Rosnah dalam menyuarakan keprihatinan dan perspektif pemikiran seorang wanita Melayu yang mencari keseimbangan identitinya di rantauan masih dikekalkan.



Kini, ada watak si pencerita pada 2016 yang menyingkap semula perjalanan watak Rosnah pada 1990-an.



Sejauh mana hebatnya gandingan Alin (belakang tabir) dan Siti Khalijah (pelakon), dua penerima Anugerah Seniman Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), ini?



Saksikan Rosnah sebagai sajian Lebaran anda bulan depan.



  • Tiket berharga $30 boleh ditempah di talian, kaunter dan laman Sistic. Pementasan pada 3 petang bagi Sabtu dan Ahad. Pementasan 8 malam pula antara Khamis dengan Ahad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >