Antonio Banderas kejar ijazah, ceburi fesyen selepas bercerai

Bekas suami pelakon Melanie Griffith kata kehidupan berubah, turut miliki temanita baru

PELAKON masyhur Hollywood, Antonio Banderas, 55 tahun, berkata kehidupannya berubah selepas perceraiannya dengan pelakon Melanie Griffith, 58 tahun.

Banderas, anak kelahiran Sepanyol yang berada di Miami bersama temanita Nicole Kimpel bagi Minggu Fesyen Miami, mendedahkan hal demikian kepada E! News mengenai perceraiannya pada 2014.

Mahligai Banderas dan Griffith runtuh selepas hampir 20 tahun berkahwin.

"Kehidupan saya banyak berubah semasa dua tahun terakhir perkahwinan kami atas sebab peribadi. Kemungkinan mengubah diri saya timbul ketika itu," katanya.

Pelakon filem Matador itu mendedahkan bahawa mentor paling berharga buatnya ialah anak-anak, terutama yang bongsu, Stella del Carmen, hasil perkahwinan bersama Griffith.

"Kadang kala, saya nasihati mereka, tapi secara realitinya, saya pelajari lebih daripada mereka. Mereka tidak begitu patuh pada kata-kata, tapi saya tetap pelajari dariapda mereka," tambahnya.

Laman Latin Times melaporkan bahawa Banderas dan Griffith mengumumkan perceraian sekitar dua tahun lalu dalam satu kenyataan bersama. Mereka berkata:

"Kami sudah memikirkan dan sama-sama bersetuju mengakhiri perkahwinan kami selama hampir 20 tahun dalam cara saling menyayangi dan mesra sambil menghormati satu sama lain. - Melanie & Antonio."

Banderas berada di Miami bagi menerima penghargaan selaku presiden kehormat Minggu Fesyen Miami 2016 baru-baru ini.

Menurut laman The Miami Herald, Banderas mempunyai minat mendalam terhadap bidang fesyen dan sudah belajar menjahit di sekolah seni Central Saint Martins, London.

"Tidak mudah memasuki universiti apabila usia anda mencecah 55 tahun. Saya perlu meyakinkan diri bahawa saya memang ikhlas dan serius. Mereka percayakan saya dan saya pun mulakan tugasan. Saya sebenarnya perlukan pengetahuan," ujarnya lagi.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa pelakon filem Desperado itu dijangka memperkenal beberapa rangkaian pakaian lelaki bersama jenama asal Scandinavia, SELECTED Homme.

Sementara itu, dalam laporan laman toofab, Griffith pula menyatakan bahawa perceraian mereka memberikannya kebebasan. Mereka memfailkan perceraian pada 6 Jun 2014.

Sebagai 'menyambut' ulang tahun perceraian, beliau mengepos mesej pada Instagram, menurut laporan Female First.

"Saya memfailkan penceraian dua tahun lalu pada 6 Jun 2014 #lifeisshort #starting over #lifeisbeautiful #lovemykids #freedom (sic)," katanya, sebelum memadamkan pos itu.

Sedang sebab di sebalik perceraian itu tidak didedahkan, Griffith ada menyatakan isu tiada persefahaman sebagai sebab dalam dokumen guaman yang difailkan.

Griffith dan Banderas berkahwin pada 1996 selepas bertemu di set penggambaran Two Much setahun sebelum itu. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Stella del Carmen Banderas, berusia 19 tahun.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 40
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.