Awie rancang terbit filem kisahkan cintanya dengan Erra

PETALING JAYA: Penyanyi Awie merancang untuk menerbitkan sebuah filem yang menceritakan kisah cintanya bersama aktres Erra Fazira dalam pertengahan tahun 1990-an.

Awie atau nama sebenar Ahmad Azhar Othman, 48 tahun, berkata filem tersebut akan mengisahkan kisah sebenar hubungan mereka yang mungkin tidak diketahui ramai, lapor laman mStar Online.

"Projek berkenaan sudah lama saya rancang tetapi banyak perkara yang perlu saya teliti terlebih dahulu termasuk meminta kebenaran daripada Erra untuk mendedahkan tentang kisah kami dalam sebuah filem.

"Apabila saya utarakan idea berkenaan kepada Erra dia positif mengenainya dan sekiranya segalanya berjalan lancar, Insya-Allah ia akan menjadi projek terbaharu saya," katanya, yang ditukil mStar Online.

Menurut laporan laman itu, Erra dan Awie mula menjalinkan hubungan cinta selepas sama-sama membintangi filem Sembilu sebelum mengikat tali pertunangan pada 1996.

Bagaimanapun ikatan berkenaan terlerai dua tahun kemudian sebelum Awie berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998.

Pasangan itu muncul dalam filem terbaharu berjudul Warna Cinta Impian arahan N. S. Krishna.

Awie berkata, filem mengenai hubungannya dengan Erra itu bukan bertujuan untuk mendedahkan aib mana-mana pihak sebaliknya ingin menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di antara mereka ketika itu.

Bagaimanapun, bukan 100 peratus kisah mengenai mereka akan difilemkan sebaliknya hanya perkara penting sahaja akan dimasukkan dalam jalan ceritanya, kata Awie.

"Bukan semua tetapi sebahagian sahaja yang pada pandangan saya perlu dijelaskan kepada penonton kerana ada perkara yang menjadi sebutan sebelum ini masih tidak terjawab sehingga hari ini," katanya.

Malah, jika segalanya berjalan lancar beliau dan Erra akan sama-sama menerajui filem itu sebagai pelakon dan berhasrat untuk menyunting Erma Fatima sebagai pengarah, tambah Awie.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 60
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.