Bapa cari penaja untuk biaya terapi bunyi buat anak autistik

AWAL tahun ini, video seorang kanak-kanak yang diikat kaki dan tangannya pada katil di Institut Kesihatan Mental (IMH) menjadi 'viral' dalam media sosial.

Dalam video itu, kanak-kanak tersebut dilihat menyembur air yang diberi bapanya sebelum mula menjerit.

Kanak-kanak itu, Akid Shariyan Muhammad Ridzuan, 11 tahun, didapati menghidapi autisme sejak sekitar lima tahun lalu, namun hanya mula berkelakuan kasar awal tahun ini.

Antara lain, Akid telah memecahkan pintu bilik kayu dan pagar besi tempawan rumahnya.

Setelah hampir tiga bulan di IMH, Akid dibenarkan pulang.

Sejak itu, bapanya, Encik Muhammad Ridzuan Raman, mencuba pelbagai cara yang dapat memperbaiki keadaan anaknya yang mudah mengamuk, gelisah dan sering mundar-mandir di rumah.

"Saya tahu autisme tidak boleh dipulihkan. Kita cuma boleh mengurangkannya sahaja. Namun, saya tetap berusaha dan mencari jalan untuk membantu Akid," kata Encik Ridzuan, 40 tahun, yang turut menghidapi autisme dan sindrom Tourette - sejenis gangguan yang menjejas pergerakan otot sehingga sukar dikawal.

Ogos lalu, bapa empat anak itu menghantar Akid ke program terapi bunyi atas saranan seorang kenalan yang telah melihat keberkesanan terapi itu ke atas kanak-kanak yang menghidapi autisme.

Program empat hari itu menelan belanja $2,200 namun Encik Ridzuan, yang bertugas sebagai pemandu dan membawa pulang $1,400 sebulan, sanggup berhabis demi melihat sedikit kemajuan dalam diri anaknya itu.

"Selepas mengikuti terapi bunyi itu, saya lihat terdapat perubahan sekitar 80 peratus dalam diri Akid. Dia lebih ceria dan gembira serta boleh duduk diam.

"Dulu, Akid tak ada kesabaran. Kalau dia nak makan, makanan perlu ada di atas meja. Kalau tak, dia akan meradang, campak telur dan sebagainya. Sekarang Alhamdulillah, dia lebih bersabar dan dapat memahami arahan. Dia tetap aktif, namun ia lebih terkawal," kata Encik Ridzuan yang mendapati Akid tertarik pada muzik setelah mengikuti program tersebut.

"Sekarang saya nak kumpul dana untuk hantar Akid ke program terapi bunyi lagi," tambahnya.

Selain berusaha menggunakan terapi bunyi, Encik Ridzuan turut menggunakan minyak pati seperti yang diperbuat daripada bunga lavender bagi menenangkan perasaan Akid.

Secara keseluruhan, belanja bagi minyak pati dan ubat-ubatan buat Akid menjangkau $700 sebulan.

Selain autisme, Akid turut disahkan menghidapi gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD), kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan isu deria.

Menurut Encik Ridzuan, ADHD yang dialami Akid berjaya dikawal melalui ubat-ubatan.

OCD pula membuatkan Akid rajin menolong ibunya mengemas kerana dia mesti mahu memperbetulkan benda yang senget atau tidak diletak dengan betul.

"Kalau Akid cuci pinggan, dia akan cuci pinggan itu berkali-kali walaupun ia sudah bersih," kata Encik Ridzuan.

Isu deria yang dialami Akid pula membuatnya peka pada bau-bauan sehingga sukar bagi ibu bapanya menukar minyak wangi dan deodoran yang digunakan.

"Kalau baunya tidak sama, Akid akan mengamuk. Kami cuma tahu tentang keadaan ini tahun ini," kata Encik Ridzuan.

Wartawan dan jurugambar Gah! berpeluang melihat sendiri kelakuan Akid apabila mengunjungi flat tiga bilik Encik Ridzuan di Clementi, kelmarin.

Kanak-kanak itu begitu tertarik kepada jurugambar dan kerap ingin berpelukan dan mencium serta menghidu bahagian dada jurugambar itu.

Akid, yang berat badannya mencecah 40 kilogram, juga meminta jurugambar mendukungnya.

Kelakuan manja itu, bagaimanapun, segera bertukar apabila Akid diminta ke bilik kerana wawancara bersama Encik Ridzuan bakal dimulakan.

Dia kelihatan gelisah dan mula merengek.

Ibunya terpaksa membawa Akid ke kedai bagi menenangkannya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Encik Ridzuan berkata beliau dan isteri, serta tiga lagi anaknya yang berusia 12 tahun, 10 tahun dan lapan tahun, banyak bersabar dengan keadaan Akid.

"Kalau mereka sedang menonton televisyen dan Akid menukar saluran, mereka biarkan sahaja. Pada mulanya, memang mereka marah sampai bergaduh, namun lama-kelamaan, mereka lebih memahami," kata Encik Ridzuan.

Akid, yang telah dimasukkan ke IMH sebanyak empat kali, sudah 10 bulan tidak ke sekolah untuk kanak-kanak autistik namun akan kembali ke sekolah Januari depan buat dua jam sehari sahaja bagi memantau perkembangannya.

Sebelum ini, Encik Ridzuan yang tidak menerima bantuan kewangan kecuali Skim Bantuan Kewangan (FAS) buat anak-anaknya, telah menjalankan pengumpulan dana dalam talian menerusi laman Give.asia sebanyak dua kali.

Januari lalu, beliau berjaya mengumpul $5,000 dan Ogos lalu $1,175.

"Saya tahu saya tidak boleh mengharap pada dana sahaja. Saya perlukan orang yang sudi menaja terapi yang perlu dijalani Akid kerana ia bukan murah dan ia perlu dilakukan sepanjang hayat Akid," kata Encik Ridzuan yang berusaha menambah pendapatan dengan melakukan kerja sambilan.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 48
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.
Indeks ST 2,956.130 -2.730