BeritaHarian.sg perkenal siri video seni muzik Gah(kustik)

WAJAH mereka mungkin jarang kelihatan di kaca televisyen.

Namun, ada bakat tempatan giat menyumbang ke arah mencorak persada hiburan Singapura.

Jika ada acara kemasyarakatan atau amal bagi mengumpul dana buat golongan memerlukan yang menyatukan penyanyi Singapura, merekalah antara yang tampil memeriahkan suasana.

Media sosial bahkan turut menjadi jentera menguar-uarkan karya terkini.

Ada juga bakat muda yang sesetengahnya sudah mewakili negara bagi peraduan realiti di Malaysia atau Indonesia.

Justeru, dalam usaha menghargai kebolehan dan mengetengahkan kerencaman bakat muzik tempatan, wadah digital akhbar ini BeritaHarian.sg menerusi galeri video dan laman Facebook bernama Berita Harian Singapura, akan memulakan siri persembahan akustik dan wawancara bersama artis tempatan.

Dinamakan Gah(kustik) Edisi Singapura, siri tersebut akan membuka tirai minggu ini dengan sajian lagu kumpulan StereoHype dan penyanyi muda Juffri Alui.

Siri Gah(kustik) akan dimuatnaikkan tiga kali seminggu - setiap petang Selasa, Khamis dan Jumaat.

Kerjasama tersebut dijalinkan bersama syarikat pengurusan artis Voz Management pimpinan Olly Maguire; studio Malay Youth Performing Art (MyPart) kendalian legenda rok Moliano Rasmadi; studio CMX International milik Sham Wahab; dan penyedia khidmat sistem bunyian Amplified.

Selanjutnya, peminat boleh menantikan Gah(kustik) Edisi Legenda bulan ini dan Edisi Raya tahun depan.

Petang ini, persembahan akustik lagu popular StereoHype Kaulah Mimpi ciptaan Malon dan tulisan Hairul Anuar Harun akan dimuatnaikkan.

Lagu yang menduduki carta Lagu Pujaan Minggu Ini (LPMI) Ria 89.7FM mulai awal bulan lalu itu dinyanyikan vokalis StereoHype, Isz.

Kaulah Mimpi dicipta berdasarkan kisah menyayat hati sebenar tentang pasangan yang ingin berumah tangga, tetapi tidak kesampaian apabila sang jejaka dikesan menghidapi barah. Maka, jejaka dan keluarganya reda si gadis mencari pengganti.

Turut dikongsi dalam klip video petang ini ialah perjalanan StereoHype sebagai kumpulan yang asalnya dikenali sebagai Audionauts dan pandangan mereka tentang trend band masa kini.

Mengapa dunia band di Singapura tidak serancak era 1970-an dan 1980 persis zaman kegemilangan Sweet Charity, Black Dog Bone atau Lovehunters dulu?

Kata Malon sebagai pengarah muzik dan gitaris StereoHype:

"Menggerakkan band memerlukan komitmen. Walaupun ada tiga, empat atau lima anggota, semuanya mesti bersatu hati dan sehala.

"Dalam keadaan sekarang, ramai anggota mempunyai pekerjaan sendiri di luar bidang muzik. Ada yang sudah berumah tangga. Yang muda pula miliki cita rasa berbeza. Kalau tak sepakat, payah bersatu.

"Saya sifatkan band sebagai perniagaan. Setiap orang ada tugas, baik menjaga kelab peminat, memastikan masa latihan diatur, jana karya baru dan sebagainya.

"Mungkin kesulitan sebegini yang membuat bakat tempatan hari ini lebih senang bergerak solo dan tidak dalam kumpulan secara tetap seperti era band 'otai' dulu."

Juffri, 25 tahun, yang sebelumnya memasuki peraduan peragaan Putera Gemilang di televisyen, mendendangkan lagu 'hit' Teguh dalam klip video yang akan dimuatnaikkan Khamis ini.

Lagu itu dicipta Olly, dengan lirik tulisan Fazelino.

Kata Juffri, yang juga aktif dalam kegiatan kecergasan:

"Teguh bermakna buat saya kerana ia diberikan sewaktu saya masih lagi menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan kebetulan baru putus cinta.

"Namun, makna lagu ini boleh dikaitkan kepada cinta lain, misalnya terhadap keluarga mahupun haiwan kesayangan seperti kucing peliharaan."

Sebagai cabaran buat bakat tempatan, mereka akan dipasangkan bagi dendangan duet. StereoHype dan Juffri akan berganding suara dalam lagu popular Audionauts Maha Bisa Rahsia. Lagu itu hasil ilham Malon, Ryzal dan Razil.

Klip itu akan dimuatnaikkan Jumaat ini.

"Saya sebenarnya gementar apabila dipasangkan dengan StereoHype. Lagu Maha Bisa Rahsia antara lagu kegemaran saya, tetapi pastinya saya terharu tatkala menyanyikannya dengan iringan muzik mantan anggota Audionauts," ujar Juffri.

  • 'Gah(kustik)' bersiaran di galeri video BeritaHarian.sg dan laman Facebook 'Berita Harian Singapura' setiap 5.30 petang Selasa, Khamis dan Jumaat.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.