Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Bermula sebagai peon, kini eksekutif kewangan, pegawai pentadbiran

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bermula sebagai peon, kini eksekutif kewangan, pegawai pentadbiran

Tahap dedikasi dan komitmen tinggi tenaga kerja dapat menyumbang kepada kestabilan dan daya ketahanan sesebuah syarikat atau institusi. Sempena ulang tahun ke-45 Penguasa Kewangan Singapura (MAS) tahun ini, BH meninjau dua pekerja yang tempoh khidmat mereka 'sebaya' dengan usia MAS. Ikuti laporan ATIYYAH MOHD SAID (atiyyahm@sph.com.sg).
Aug 18, 2016 | 05:30 AM



PADA 1971, sedang usia Encik Zainal Abidin Abni dan Encik Sapuan Basari baru mencecah 16 tahun, mereka memulakan pekerjaan pertama sebagai peon di Penguasa Kewangan Singapura (MAS) yang baru dibentuk pada masa itu.



Walaupun hanya berkelulusan Senior Cambridge ketika itu, tetapi didorong azam mahu memajukan diri, kededuanya rajin mempertingkatkan kemahiran agar relevan dalam landskap pekerjaan yang berubahubah.



Kini pada usia 62 tahun, mereka berjaya mendaki tangga kerjaya. Encik Zainal memegang jawatan sebagai eksekutif kewangan di jabatan kewangan dan tugasannya termasuk menguruskan akaun pelaburan dalam mata wang Amerika Syarikat.



Encik Sapuan pula menjawat peranan pegawai pentadbiran di jabatan risiko pakar dan peranannya antara lain menyiapkan bajet tahunan jabatannya dan memantau penggunaan dana.



Semasa ditemui di bangunan MAS baru-baru ini, kededuanya yang baru-baru ini menerima anugerah khidmat paling lama di MAS, menganggap telah 'membesar' bersama dengan MAS sepanjang 45 tahun lalu.



Menceritakan pengalamannya, Encik Zainal yang memantau tiga pekerja lain, berkata apabila permohonan menjadi kerani di sebuah kementerian diterima, beliau tahu ia satu isyarat mendapat jawatan lebih baik di MAS.



"Setelah dua tahun menjadi peon, saya mahukan kemajuan dalam pekerjaan saya. Jadi saya tunjukkan surat penerimaan daripada kementerian itu kepada jabatan sumber manusia dan memberitahu mereka, jika kementerian boleh terima saya sebagai kerani, kenapa tidak MAS?



"Selepas itu, saya pun ditawarkan menjadi seorang kerani dalam jabatan perakaunan. Dari situ, saya dihantar bermacam kursus jangka pendek seperti kursus perakaunan untuk instrumen pelaburan dan pasaran pelaburan.



"Dalam masa setahun, saya dinaikkan pangkat lagi dan diberi kepercayaan menjalankan tanggungjawab lain sehinggalah dilantik sebagai eksekutif perakaunan," jelasnya yang banyak menguruskan maklumat sensitif.



Bagi Encik Sapuan yang juga adalah pengerusi kesatuan kakitangan cabang MAS, selepas dinaikkan menjadi kerani beliau menyimpan cita-cita lebih tinggi.



"Apabila saya melihat kawan-kawan mara dalam kerjaya, saya juga inginkan perkembangan baru dan mahu mengubah kehidupan saya.



"Tetapi untuk ke tahap itu, saya sedar ia memerlukan kemahiran lebih tinggi. Justeru, saya mengambil diploma dalam pentadbiran perniagaan dan membolehkan saya ke peringkat seterusnya," katanya yang pernah menjadi pegawai kajian.



Apabila ditanya bagaimana mereka mampu menghadapi peredaran zaman khususnya dalam industri kewangan, kededuanya yang pernah menerima Pingat Khidmat Setia, menjelaskan kuncinya adalah sentiasa terbuka mempelajari sesuatu baru.



"Kami melalui banyak perubahan khususnya daripada segi teknologi - daripada melakukan perakaunan secara manual kepada penggunaan komputer kepada penggunaan sofwe.



"Kita berdua akan belajar komputer bersama-sama, malah belajar programming sendiri. Dari segi pengetahuan kerja misalnya tentang pasaran pelaburan, MAS sentiasa menghantar saya ikuti kursus," imbas Encik Zainal.



Walaupun masing-masing sudah mencapai usia persaraan, mereka belum merancang meninggalkan pekerjaan yang sudah sebati dengan mereka.



Encik Sapuan yang kontrak bekerjanya baru diperbaharui untuk dua tahun lagi, berkata: "Selagi sihat, saya mahu terus bekerja dan menyumbang kepada industri ini walaupun peranan saya tidak sebesar mana."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >