'Double' A rancang naik pelamin

Pasangan ideal drama 'Cik Bunga Encik Sombong' tamatkan zaman bujang November ini

TEKA-TEKI yang sentiasa bermain dalam fikiran pengikut setia pasangan pelakon drama 'hit', Cik Bunga Encik Sombong, Amyra Rosli dan Amar Baharin, akhirnya terjawab juga kelmarin.

Menerusi program eksklusif Astro, H! Live Special:Mama, Kahwin Please!, merpati dua sejoli itu yang merahsiakan percintaan mereka sejak lebih setahun lamanya, mengumumkan mereka akan bernikah pada 11 November ini.

Majlis pertunangan Amyra, 25 tahun, dan Amar, 31 tahun, pula bakal dilangsungkan pada Jumaat ini secara tertutup buat keluarga terdekat.

Menyusuli siaran program yang persis kunjungan kru H!Live ke set drama Mama, Kahwin Please! itu, pasangan sama cantik dan sama padan itu turut mengadakan sidang akhbar dalam majlis ramah mesra yang berlangsung di Sunway Montana Club House.

Amar, yang mengenakan baju kurung biru sedondon dengan Amyra, mengumumkan kepada media seberang:

"Hasil restu keluarga kami, kami mengambil keputusan berkahwin tahun ini. Majlis persandingan di sebelah Amyra diadakan sehari selepas acara pernikahan.

"Seterusnya pada 19 November, majlis bertandang sebelah saya pula akan dilangsungkan. Keluarga saya merisik Amyra pada Aidiladha tahun lalu."

Sebelum ini, Amar dan Amyra, yang bernaung di bawah pengurusan yang sama iaitu Dollar Legacy Artist Management di bawah jagaan ibu Amyra, Noor Zaridah Ahmad, begitu berjaga-jaga dalam mendedahkan kisah cinta mereka.

Setiap kali ditanya, mereka enggan mengulas panjang meskipun menerusi akaun Instagram, dapat dikesan kemesraan mereka sebagai pasangan yang cukup ideal di dalam dan luar set drama.

"Sebenarnya, kami bukan ingin menyorok perkara ini tetapi selagi ia belum disahkan, selagi itu kami tak berani nak kata apa-apa.

"Apabila sudah diputuskan, barulah kami mendedahkannya kepada media dan peminat yang menyokong kerjaya kami," kata Amar lagi.

Menerusi program Mama, Kahwin Please!, segala penceritaan Amar dan Amyra dibuat persis sinopsis sebuah drama yang dikatakan bukan adaptasi novel tetapi adalah kisah sebenar.

Watak Tengku (Amar) dan Erika (Amyra) digunakan sebagai sandaran membuka rentetan peristiwa percintaan mereka berdua yang terjalin selama lebih setahun.

Mereka berdua berdepan dengan cabaran meluahkan hasrat hati kepada ibu Amyra tentang niat murni mereka membina mahligai.

Dua peristiwa yang Amar ceritakan dalam program itu memberi sekilas gambaran mengenai kisah cinta mereka, bagaimana beliau sendiri cuba meluahkan rasa meskipun dibelenggu rasa segan.

"Saya beritahu kepadanya saya nak ke rumahnya, kononnya nak pinjam gitar. Padahal, dah ada tiga gitar di rumah. Apabila nampak bapanya baru pulang dari kerja, gementar rasanya," cerita Amar, yang memulakan kerjaya seni sebagai model sambilan dan turut menyertai program pencarian bakat, Anak Wayang.

Kemudian, pernah juga beliau baru pulang daripada projek di luar negara dan membelikan Amyra sebotol minyak wangi dalam beg dengan tulisan "I Love You" tertera.

"Apabila kami janji nak bertemu, tiba-tiba dia datang dengan anak buahnya, maknya, adik-adiknya!" ujar Amar.

Amyra, yang tertawa pula, menambah: "Saya tanya mengapa letak dalam beg plastik "I Love You", dia kata itu plastik pemberian kawannya... lupa nak tukar!"

Kisah cinta mereka yang dibuka satu persatu itu memang tampak manis bak jalan cerita drama komedi romantis.

Mengulas mengapa beliau tertarik dengan Amar, Amyra, yang sebelum ini pernah melalui keperitan majlis perkahwinannya dengan pelakon Dazrin Kamarudin dibatalkan di saat-saat akhir, berkata:

"Saya senangi kematangan Amar dan selesa menjadi temannya. Bila bercinta dengan orang yang lebih tua ini, dia sudah sampai ke usia di mana dia tak nak bercinta lama. Mungkin pengalaman sudah mengajarnya agar tetapkan matlamat berkahwin. Dia juga ada perancangan masa depan.

"Apabila dia cipta lagu khas buat saya, saya pun terasa, 'Oh betullah dia sayang saya'!"

Amar pula tertarik pada keikhlasan dan hati budi Amyra. Dengan pasangannya itu suka ketawa dan bergurau senda, beliau sempat menambah dalam program itu:

"Bagaimanalah saya tak terhibur apabila bersama Amyra Rosli?"

Semoga mahligai yang bakal dibina kelak berkekalan hingga ke anak cucu.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.