Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Dua beradik bertekad bangkitkan jiwa positif

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dua beradik bertekad bangkitkan jiwa positif

Apr 22, 2018 | 05:30 AM



Lagu patah hati dan putus cinta haru-biru banyak memenuhi pasaran irama Melayu masa kini. Jauh daripada terjebak dalam muzik sebegitu yang seakan mendorong ke arah rasa putus asa, beberapa bakat wanita di seberang Tambak bertekad menyuntik inspirasi menerusi lagu positif pembangkit semangat berani dan cekal. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) menemu ramah mereka di Kuala Lumpur sempena peraduan realiti 'Gema Gegar Vaganza 2' baru-baru ini.



KEPETAHAN bekas peserta peraduan realiti Akademi Fantasia musim kelima, Heliza Helmi, berhujah dan memberi motivasi dengan penuh kelembutan tetapi berkesan.



Hal tersebut menjadikannya bak idola bagi gadis remaja seberang.



Kecekapan adiknya, Hazwani Afiqah, memanfaatkan daya vokal bagi tujuan 'beatbox' persis penyanyi 'rapper' juga mempesona.



Apabila kedua-duanya berada di pentas peraduan realiti Astro Oasis Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2), dinamisme dan keharmonian mereka sangat terasa.



Pertandingan lagu motivasi dan kerohanian itu sudah masuk minggu keempat.



Boleh dikatakan hampir saban minggu, dua beradik asal Kuala Terengganu itu tidak mengecewakan.



Minggu lalu, mereka memukau ramai dengan takrifan lagu fenomena Hael Husaini berjudul Jampi, yang dikupas secara keislaman dengan penuh teliti.



Walaupun dihujani komen masyarakat siber atau 'netizen' yang tidak putus melontarkan kata-kata tidak membina, Heliza, 32 tahun, dan Hazwani, 21 tahun, terus berjuang.



Sewaktu ditemui Gah! di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Heliza, dengan penuh kerendahan hati, berkata beliau masih jauh lagi daripada menjadi teladan terbaik buat remaja atau wanita lain.



"Kalau diibaratkan sebagai contoh, rasanya saya memang tidak layak dan masih jauh lagi daripada menjadi inspirasi.



"Rasulullah saw itulah teladan terbaik. Apabila ditawarkan peluang menyertai GGV tahun lalu, kami berdua tak dapat nak beri komitmen bagi peraduan musim pertama itu.



"Pada waktu itu, ada amanah kemasyarakatan yang perlu dijalankan di Syria dan Yaman.



"Apabila dipelawa lagi menyertai peraduan ini, tahun ini, kami berdua bertanya kepada guru. Kami kupas apa niat dan tujuannya.



"Selepas beristikharah, dipermudahkan kami menyertai peraduan ini atas keinginan berkongsi dan belajar lagi cara menyampaikan pesanan positif secara kreatif," ujar Heliza, yang memiliki ijazah pendidikan (sains, biologi dan kimia) Universiti Malaysia Sabah.



Dalam pada itu, Heliza peka terhadap bermacam isu kemasyarakatan di luar negara dan pedalaman Sabah.



Beliau juga bijak berseloroh, menjadikan setiap wawancara dengan wartawan begitu santai dan selesa.



Antara yang dinyatakan tentang sikapnya yang ramah ialah "'Dah sering jadi penceramah, itu sebablah ramah!" atau "Adik saya 'beatbox', saya tak mampu... maka terpaksalah cuma buka 'ice box' (peti ais) dan cari makanan!"



Hazwani, yang mengikuti pengajian psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menganggap ujian terbesar mereka terletak pada usaha memberi takrifan pada lagu popular Jampi.



"Bagi kami, kupasannya ialah kita kini banyak 'dijampi' hal duniawi meliputi perihal menambah harta dan mendapat pangkat.



"Kami lebih melihat kepada konteks melawan hawa nafsu. Melawan hawa nafsu itu perkara yang sering kita alami agar kita tidak 'terjampi' pesona dunia yang sementara," ujarnya.



Jarak usia 11 tahun antara Hazwani dengan kakaknya itu tidak menjadi halangan bagi mereka sama-sama memperjuang irama positif dalam industri seni Malaysia.



Beliau yang mula berjinak-jinak dengan irama 'beatbox' seawal usia 11 tahun, menambah:



"Persamaan antara kami ialah rasa suka buat benda kreatif yang memberi motivasi macam apa yang dilakukan dalam GGV2.



"Saya sukakan kreativiti kakak saya. Beliau juga disenangi dan disayangi ramai."



Heliza juga bersyukur mempunyai adik yang berkongsi misi dengannya, di samping kagum dengan bakat semula jadi Hazwani melontar irama 'beatbox'.



"Semasa saya di universiti, saya terfikir, apalah budak 'ni buat! Benda apa ni 'beatbox'?



"Tapi sekarang saya syukuri kemahiran adik saya. Kalau terlupa bawa pita 'minus-one', tak perlu khuatir! Hazwani boleh jadi alat muzik pengiring!" ujarnya, sambil berharap dapat sama-sama adik menjana motivasi secara kreatif.



  • Rancangan 'Gema Gegar Vaganza 2' disiarkan menerusi penstriman langsung di laman YouTube Astro Gempak setiap Sabtu, mulai 9 malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >