Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25

Erra tidak lagi stres cakap soal kahwin

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Erra tidak lagi stres cakap soal kahwin

Jul 30, 2017 | 05:30 AM



DENGAN spontan sambil mengukir senyuman manja, primadona filem Melayu jelita, Erra Fazira, berkata: "Alah... lagu Pasrah? Saya tak naklah terus bersendiri."



Tatkala itu, juruvideo Berita Harian/Berita Minggu, Putri Mardhiyah Yazid, memintanya menyanyikan lagu popular dengan lirik pembuka tirai "Inginku sendiri, meniti hari..."



Erra, yang diminta memberi ucapan kepada pelungsur laman Facebook Berita Harian Singapura dalam majlis perjumpaan Raya Sinar Lebaran 2017 di Royal Palm@Clarke Quay, langsung mendendangkan lagu lebih rancak, Jendela Hati.



Majlis tersebut anjuran bersama D'Wonders dan Heyzee Entertainment.



Bila nak kahwin?



Ternyata si tinggi lampai dengan nama sebenar Fazira Wan Chek, 43 tahun, sudah masak dengan soalan cepumas wartawan.



"Bila nak kahwin?" adalah antara soalan yang sering diajukan - daripada zaman beliau anak dara hinggalah bergelar janda.



"Satu ketika dahulu, memanglah stres. Tapi sekarang taklah kita tertekan sangat. Sebabnya, selama 25 tahun dalam industri seni, sudah bermacam fasa saya tempuhi.



"Saya harus tahu sekarang musim orang tanya apa dan selanjutnya. Kalau kita faham rentak hidup artis, sebelum kahwin, orang akan tanya 'Bila nak kahwin?' Dah kahwin, orang nak tahu pula 'Bila nak dapat anak?'"



"Saya okey saja dengan soalan sebegini. Kita lalui saja dan akur asal jalan kita betul dan tidak melanggar sebarang undang-undang agama atau tatasusila, tak perlulah kita nak tertekan dengan soalan sebegini," ujar Erra, yang dikaitkan dengan selebriti muda, Ahmad Shahir Zawawi (Shahir AF), 28 tahun.



Doakan terbaik buat bekas suami



Memahami hati seorang wanita yang akan berasa tidak manis mendedahkan banyak-banyak kisah cintanya yang terlalu peribadi, penulis mengabaikan sahaja soalan tentang Shahir.



Tambahan pula, ada banyak lagi perkara dalam kehidupan sebagai ibu tunggal dan kerjaya seni Erra yang wajar dikongsi buat peminatnya.



Meskipun pada awalnya terkesan sebak di hati, Erra begitu tenang menjawab soalan mengenai bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 42 tahun, yang dikatakan mesra dengan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella, 29 tahun.



"Alhamdulillah, apa saja pilihan dia, saya harap dia berbahagia. Yang penting, amanah menjaga anak, biarlah ia tidak terjejas dan kita sama-sama dapat mendidik anak dengan baik. Walau kita tidak bersatu di dunia, semoga kita beri yang terbaik buat anak kita, Tengku Aleesya," jelasnya.



Mahligai yang dibina Erra dan Engku Emran hanya sempat bertahan selama tujuh tahun dengan hak penjagaan Tengku Aleesya, lapan tahun, diberi kepada Engku Emran.



Disiplinkan puteri tunggal



Sungguhpun tidak tinggal sebumbung, Erra pastikan masa terluang buatnya bermanja, mendidik dan bermain dengan Tengku Aleesya walau sesibuk mana pun dirinya.



"Aleesya tahu walaupun saya suka bermain dengannya, saya tetap ibu yang tekankan soal disiplin. Apa-apa pun, kerja sekolah mesti nak siap dulu. Jadualnya saya pantau termasuk nak mandi jam berapa.



"Memang sukar jadi ibu berkerjaya. Saya lihat dia sebagai anak yang suka menyanyi dan menari tapi pemalu macam saya kecil-kecil dahulu. Sejurus terpacak kamera di depan mata, sifat pemalunya timbul.



"Maka kita perlu tarik dia ke tepi dan beri semangat buatnya. Kita beritahu gambar yang dirakam buat apa. Memang Aleesya anak yang pendiam. Nak 'komplen' pun tak boleh sebab macam itulah Erra dulu. Bapanya pun pemalu dan pendiam," kongsi Erra.



Sumber rujukan artis muda



Di sebalik onak duri sebagai anak seni yang diharungi Erra, yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia 1992, beliau merasakan bidang hiburan banyak mematangkannya.



"Saya melihat dunia dari perspektif berbeza. Saya juga melihat sikap manusia dan belajar daripada mengamati mereka. Kini, saya jadi tempat artis muda atau orang luar rujuk tentang dunia seni. Mereka minta pengalaman saya dikongsi dan akur pada kerjaya yang membawa saya bertemu ramai orang.



"Saya bersyukur di sebalik jatuh bangun saya meskipun hal kita menjadi tumpuan bukan sahaja seisi keluarga, malah satu Malaysia dan negara jiran," tambah beliau, yang melihat sahabat akrab dalam filem Sembilu, Awie dan Ziana Zain, sebagai idola yang kekal relevan dan bertahan.



Pesannya kepada bakat muda yang popular menerusi aplikasi karaoke Smule dan YouTube:



"Nak popular memang senang, lebih-lebih lagi ada banyak wadah menyumbang bakat. Tapi pastikan matlamat kita nak popular biarlah betul dan bersih.



"Kalau ingin jadi artis, pastikan anda mampu jadi artis berwibawa, menaikkan nama dan martabat industri hiburan serta memberi kesan positif pada industri."



Jangan sibuk bolot semua



Apakah perlu buat artis masa kini mahir dalam pelbagai cabang seni - berlakon, menyanyi dan mengacara, sebagai sumber penakatan seperti dirinya?



"Tak semestinya, ikutlah kemampuan anda. Kalau anda miliki semua bakat dan mampu melakukannya dengan baik, tak salah perluas kemahiran.



"Tapi janganlah gara-gara nak bolot semua, anda main buat saja tanpa ambil kira kemampuan dan mutu. Habislah, rosak kerja seni anda. Yang mustahak, anda harus tahu batasan dan kemampuan anda.



"Saya sendiri dapat beberapa tawaran yang saya perlu fikir dua tiga kali sebelum menerimanya. Sebabnya, sebelum saya membodoh-bodohkan diri saya sehingga dipersenda, baiklah saya hadkan kerjaya dan kemahiran saya pada bakat yang benar-benar boleh saya bawa dengan baik," jelasnya yang menyarung seragam ketua polis dalam drama Astro, My Darling Inspektor Daniel.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >