REVIU KONSERT SOLO T:ZI

‘Sutera Samudera’ berjiwa Melayu

SETELAH 13 tahun berkecimpung dalam arena muzik, penyanyi pop etnik, T:zi akhirnya menunaikan impian mengadakan konsert solo pertamanya.

Konsert Sutera Samudera yang diadakan di Substation Ahad lalu jelas kuat dengan rasa dan jiwa Melayunya.

Konsert dimulakan dengan klip video wawancara degan pemuzik-pemuzik yang mengiringi persembahan T:zi pada malam itu sebelum Latif Eidrusi menyampaikan puisi Sahabat Seni.

T:zi memulakan persembahan dengan lagu rancak Kembara Cinta.

Lagu itu mendapat sentuhan istimewa petikan gambus pemuzik tradisional terkenal, Zubir Abdullah.

Zubir juga bermain akordion pada malam itu dengan tugas sebagai 'tukang pukul' disandang pemain genderang terkenal Qamar Baba.

Selain dua pemuzik itu, T:zi turut diiringi Dydo sebagai pemain gitar, Zed Zaini yang bermain gitar bes dan Dhwan yang menjadi penyanyi latar.

Semasa persembahannya pada malam itu, T:zi juga sempat berkongsi tentang bagaimana bapanya mula mendedahkan beliau kepada muzik.

Kongsi T:zi, bapanya bukan sahaja mengenalkan beliau kepada muzik kumpulan Beatles malagh muzik Melayu seperti keroncong dan ghazal.

Menurut T:zi, pendedahan itu mampu membuatkan muzik Melayu berakar dalam jiwanya sedangkan muzik Barat sekadar singgah sahaja.

Selain mempersembahkan lagu-lagu yang pernah dirakamkannya, T:zi juga menyampaikan lagu daripada koleksi peribadinya seperti Liza Refleksi Cinta yang ditujukan khas untuk isterinya.

Lagu-lagu yang dipersembahkan kepada sekitar 150 penonton itu bukan sahaja kuat jiwa Melayunya malah lirik yang mudah diikuti namun dengan makna yang mendalam membuatkan ramai yang asyik menikmati persembahan T:zi.

Namun, T:zi yang walaupun sudah lama berkecimpung dalam industri muzik tempatan masih kelihatan agak malu-malu dalam interaksinya dengan penonton.

Muzik Melayu yang jelas telah berakar dan bercambah dalam diri T:zi merupakan kekuatan konsert Sutera Samudera itu.

Bak kata Qamar dalam klip video sejurus persembahan bermula, "bukan mudah untuk melihat anak tempatan yang terus berkarya muzik Melayu jati".

Beliau juga telah menepati janjinya untuk membuat getar dan muziknya terus terngiang-ngiang lama setelah konsert berakhir.

Semoga T:zi, yang telah dianggap sebagai pewaris muzik Melayu oleh Zubir, tidak tunggu 13 tahun lagi untuk adakan konsert solonya yang kedua.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 31
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.