Imran tak mahu lagu ‘jiwang-jiwang’ dalam album baru

SERING dikaitkan dengan lagu-lagu cinta penuh kehampaan, kesedihan dan bertemakan hiba, Imran Ajmain kini menemui pendengar muzik dengan sesuatu yang berbeza. 

Album ketiga penyanyi yang baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-33 kelmarin berjudul Setulus Kasih, bertemakan wanita dan penghargaan kepada kaum Hawa.

''Untuk (album) kali ini, saya elakkan tema-tema hiba, tema-tema sedih dan kurangkan sedikit lagu yang mendayu-dayu serta lagu balada,'' katanya ketika ditemui selepas pelancaran albumnya di Play Den, The Arts House, baru-baru ini.

Kata Imran, beliau berbuat demikian kerana inginkan sedikit perubahan.

''Saya rasa biasanya apabila seorang artis lelaki mendendangkan lagu Melayu biasanya tentang I love you (saya cinta awak), I miss you (saya rindu awak) atau kenapa awak tinggalkan saya atau kenapa awak tak nak dengan saya lagi... biasa.

''Pada saya tema-tema itu bukan basi tapi kita perlu pembaharuan dan kita perlu cita rasa yang berbeza sekali-sekala,'' katanya.

Tambahnya, beliau yakin ada peminat yang mungkin tidak dapat menerima bahawa beliau tidak menyanyikan lagu yang mempunyai tema seperti lagu-lagu hitnya, Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun Sayang.

Katanya, kali ini lagu-lagunya mempunyai unsur-unsur positif seperti menghargai wanita, ibu atau isteri.

Kali ini juga Imran melancarkan albumnya secara digital melalui khidmat penyaluran muzik (music streaming), Spotify.

Menurut Imran, album fizikal dalam bentuk cakera padat akan hanya mula menemui peminat pada Jun akan datang.

Album digitalnya itu mempunyai enam lagu dengan satu lagu bonus dimuatkan dalam album yang bakal diedarkan dalam bentuk cakera padat.

''Peminat boleh dapatkan album dalam bentuk cakera padat bermula 7 Jun nanti, iaitu semasa acara 'Konsert Amal Setulus Kasih' yang akan diadakan di Kelab Masyarakat Marsiling,'' katanya. Imran berkongsi bahawa beliau telah diundang untuk ''memberikan perhatian kepada Kelab Belia Masjid An-Nur''.

Imran telah mengikrarkan 1,000 keping albumnya untuk konsert amal itu.

''Hasil jualan cakera padat yang dijual pada harga $24 setiap satu akan diberikan sepenuhnya kepada Lembaga Pentadbir Masjid An-Nur.

''Saya tidak ambil walau sesen pun kos pembikinan album. Sepenuhnya untuk masjid,'' katanya.

Menurut Imran, sebelum ini beliau tidak pernah terlibat secara langsung bagi projek-projek amal.

Sebaliknya, beliau sering diundang hanya sebagai penyanyi jemputan atau membantu rakan-rakan artis yang terlibat dalam projek amal.

''Jadi kali ini apabila saya dapat peluang tersebut, saya nak sangat. Dan album itu sangat sesuai untuk dikaitkan dengan kempen amal,'' katanya lagi.

Butir-butir tentang penjualan tiket bagi konsert amal itu akan diberitahu kelak, katanya lagi.

Selain itu, peminat-peminat Imran juga boleh menyaksikan cerita di sebalik tabir yang dikongsi penyanyi itu melalui saluran YouTube beliau.

''Webisode atau episod dalam siri rancangan televisyen menerusi Internet adalah sesuatu yang peribadi. Menerusi webisode, kita dapat tonjolkan klip video yang mungkin tidak sesuai ditampilkan dalam program televisyen tertentu,'' katanya.

Beliau mempunyai lebih 1,600 pengikut saluran YouTube, hampir 20,000 pengikut akaun Instagram, lebih 153,000 pengikut Twitter dan menerima lebih 60,000 like untuk halaman Facebook beliau.

Beliau juga aktif berinteraksi sendiri dengan peminatnya menerusi pelbagai akaun media sosialnya.

Katanya, webisode yang disiarkan setiap Isnin sejak 14 April lalu sedikit sebanyak memberi peminatnya peluang mengetahui sedikit sebanyak apa yang berlaku di sebalik tabir.

''Jadi apabila saya ada video ni, saya memang simpan banyak sangat footage. Jadi saya dapat kongsi sedikit demi sedikit.

''Insya-Allah saya dapat bekerjasama dengan Spotify untuk keluarkan lima episod yang pertama ini dan saya sudah dilamar untuk 30 episod yang akan menyusul,'' katanya.


''Untuk (album) kali ini, saya elakkan tema-tema hiba, tema-tema sedih dan kurangkan sedikit lagu yang mendayu-dayu serta lagu balada... Saya rasa biasanya apabila seorang artis lelaki mendendangkan lagu Melayu, biasanya tentang I love you (saya cinta awak), I miss you (saya rindu awak) atau kenapa awak tinggalkan saya atau kenapa awak tak nak dengan saya lagi... biasa.... Pada saya tema-tema itu bukan basi tapi kita perlu pembaharuan dan kita perlu cita rasa yang berbeza sekali-sekala.''

- Imran Ajmain.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 27
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.