Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Jaga adab bila naik bas dan MRT

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PENUMPANG MENYAKITKAN HATI

Jaga adab bila naik bas dan MRT

'Mahasiswa NTU lancar kempen santai ‘The Ride Etiquette’
Feb 28, 2014 | 12:11 PM



DALAM bas dan kereta api MRT yang sesak dan sarat bagai tin sadin, tidakkah anda rimas melihat penumpang yang berdiri terpaut pada tiang dan enggan berganjak?


Bagaimana pula dengan mereka yang membiarkan kaki mereka terkangkang demi menguasai dua ruang tempat duduk, sedangkan ada warga tua atau wanita hamil berdiri berhampiran?


Ini belum termasuk mereka yang mempunyai masalah kebersihan atau tabiat menjijikkan - tampil dengan badan berbau, menguap sekuat-kuat hatinya dan mengorek hidung bagaikan di rumah sendiri!


Tentunya, tabiat-tabiat penumpang sebegini sedikit sebanyak mengganggu perjalanan harian anda ke pejabat, sekolah atau ke mana saja.


Atas ingatan itulah, sekumpulan mahasiswa tahun akhir jurusan pengiklanan dan perhubungan awam di Sekolah Komunikasi dan Maklumat Wee Kim Wee di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mengusahakan kempen santai bertajuk The Ride Etiquette.


Mereka terdiri daripada Cik Fadzeera Fadzully, 22 tahun; Cik Atheena Samsuri, 22 tahun; Cik Cynthia Soe, 22 tahun dan Cik Lim Woan, 23 tahun.


Kempen yang pada fasa pertamanya digerakkan menerusi laman Facebook itu disokong Gerakan Berbudi Singapura (SKM), Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central dan The Substation.


Fasa kedua kempen ini pula melibatkan laman Internet bagi menguji apakah anda juga penumpang yang menyakitkan hati, video eksperimen sosial dan pelekat penghargaan kerana menjadi penumpang berbudi bahasa.


Akhir sekali, kempen ini menutup tirainya dengan satu pameran seni mengenai etika sosial di pengangkutan awam, The Art Invasion by The Ride Etiquette, hari ini.


Pameran percuma yang mengetengahkan karya 10 artis setempat berlangsung dari 1 petang hingga 9 malam ini.


Menjelaskan lebih lanjut mengenai kempen ini, Cik Fadzeera yang ditemui di pejabat Berita Harian, berkata:


"Setiap orang pasti melalui pengalaman kurang menyenangkan atau menyelesakan di dalam bas atau MRT.


"Kerana isu pengangkutan ini begitu hangat dibincangkan di dada siber mahupun di media setempat, kami mengambil langkah mengusahakan kempen yang lain daripada kebiasaan kempen berbudi bahasa di Singapura.


"Sebagai anak muda, kami idamkan kempen lebih menyeronokkan, tidak membosankan atau mengikut acuan kebiasaan kempen setempat, yang adakalanya kurang menarik perhatian golongan muda."


Pasukannya turut menjalankan tinjauan rambang bagi kempen yang menggunakan cogan kata Thank You For Not Being A &^%$#@.


Hasil tinjauan tersebut menunjukkan separuh daripada mereka yang ditinjau merasakan etika sosial itu penting. Mereka bahkan melahirkan rasa kurang senang dengan tabiat penumpang lain yang dilihat sekeliling mereka saban hari.


"Kempen-kempen budi bahasa di Singapura harus berbeza daripada kebiasaan memaparkan poster sahaja.


"Kita harus wujudkan interaksi yang lebih berkesan dengan masyarakat awam," ujar Cik Soe pula.


Yang menariknya, mereka berempat memerah kreativiti mereka bagi menghasilkan lima watak penumpang menyakitkan hati.


Watak-watak ini dibuat dalam bentuk kartun yang ditempel pada foto situasi sebenar dalam pengangkutan awam.


Mereka terdiri daripada Pole-Dancing Pammy (yang berpaut pada tiang bas atau MRT); Kanchiong Kelly (yang tidak sabar lantas menolak penumpang lain); Wide-Leg Wally ('membolot' tempat duduk dengan mengangkangkan kaki); Blocking Bob (menghadang pintu masuk dan keluar MRT atau bas) serta Funky Fred (ada masalah bau badan).


Selain itu, Cik Fadzeera dan Cik Atheena juga berlakon bagi video eksperimen sosial mereka.


Mereka merakam aksi dan reaksi orang ramai pada dua situasi.


Cik Fadzeera yang berpura-pura membawa barangan banyak dan terjatuh sehingga berkecah, mendapati kebanyakan penumpang seakan-akan acuh tidak acuh dengan keadaannya, apa lagi bersimpati.


Cik Atheena yang menyorok bantal dalam bajunya seakan-akan beliau wanita hamil pula menambah:


"Tak sangka pula, saya kelihatan betul-betul macam wanita hamil. Saya juga terharu, di kalangan ramai penumpang di situ, ada seorang warga emas yang bersimpati.


"Saya kira dia lebih memerlukan tempat duduk di MRT itu tapi dia memberikan saya tempat duduk tersebut kerana menyangka saya hamil."


Ditanya apakah harapan mereka dan perkara yang akan dilakukan jika kempen ini meraih lebih sokongan daripada pihak berkuasa, Cik Lim Woan berkata:


"Kami harap kempen ini boleh digerakkan sebagai usaha berterusan dalam membangun semangat dan keperibadian penumpang berhemah dan berbudi bahasa.


"Zaman sudah pesat berubah. Anak-anak muda sukakan kempen yang lebih segar dan memanfaatkan media sosial.


"Banyak yang boleh dilakukan agar setiap perjalanan dalam bas atau MRT menjadi lebih menenangkan dan keadaan sekeliling pula indah dipandang mata."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >