Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Kafe perkasa pelatih berkeperluan khas agar berdikari

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kafe perkasa pelatih berkeperluan khas agar berdikari

Apr 22, 2018 | 05:30 AM



PERASAAN malu dan kurang yakin dilihat dalam diri Encik Muhammad Muhaimin Mohd Afandi kali pertama beliau bertugas di Kafe Mystical yang terletak di 11 Jalan Ubi.



Ini kerana beliau yang mengalami ketidakmampuan intelek ringan sukar menyesuaikan diri dengan orang yang tidak dikenalinya.



Namun, selepas sekitar setahun di situ, Encik Muhammad Muhaimin, 24 tahun, kini mampu menyesuaikan diri bukan sahaja di dapur malah bersama mereka yang melanggani kafe yang diuruskan Pusat bagi Golongan Dewasa (CFA), Persatuan Golongan Keperluan Khas (APSN).



Ini dinyatakan sendiri instruktor di kafe tersebut, Cik Nur Suriani Lamri, yang memantau pelatihnya itu bersama pelatih lain sejak setahun lalu.



"Memang saya perlu ambil masa yang lama mengajarnya.



"Banyak kesabaran diperlukan apabila melatih golongan sebegini.



"Namun, kepuasan dapat dirasakan apabila mereka dapat biasakan diri dengan apa yang telah mereka pelajari dan terapkan dalam pekerjaan mereka," kata gadis berusia 28 tahun itu.



Malah, Encik Muhammad Muhaimin dengan bangga menyatakan tentang keupayaannya menyediakan beberapa juadah di dapur kafe tersebut semasa ditemui wartawan.



"Saya boleh sediakan nasi lemak, fish n chips (ikan dan kentang goreng) dan prawn pesto (pesto udang)," katanya dengan nada tenang.



Namun, kemampuan Encik Muhammad Muhaimin tidak akan dicapai tanpa latihan yang diberi instruktor seperti Cik Suriani.



Hebatnya, Cik Suriani, yang mempunyai ijazah sarjana muda Sains (Matematik) daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) sebelum ini merupakan seorang pendidik tuisyen sepenuh masa selepas tamat pengajiannya.



Beliau menyertai APSN selaku instruktor sekitar tahun lalu.



"Saya mempunyai latar belakang dalam sektor makanan dan minuman (F&B) kerana semasa menuntut, saya sudah pun bekerja sambilan selaku kru di salah sebuah restoran makanan segera.



"Tapi pengalaman melatih golongan istimewa ini hanya dipelajari semasa saya mula bekerja di sini. Itu yang mencabar," kata anak pasangan teknisyen dan suri rumah itu lagi.



Kafe yang mampu menempatkan sehingga 52 pelanggan pada satu-satu masa itu menyediakan pastri, pasta serta sajian utama seperti nasi lemak dan kupang mentega kepada orang ramai dari Isnin hingga Jumaat (9.30 pagi hingga 4.30 petang) dan Sabtu (9.30 pagi hingga 2 petang).



Dibuka pada Februari tahun lalu, ia memberi peluang kepada pelatih APSN yang mempunyai keperluan khas menjalani latihan di dapur selain perkhidmatan.



Pada masa ini, terdapat seramai lapan pelatih dan tiga pembimbing yang menguruskan kafe tersebut.



Menurut Penolong Pengarah CFA, APSN, Encik Philip Li, semua pelatih yang ditugaskan di kafe tersebut menjalani pelbagai latihan daripada aspek menghasilkan makanan, bungkusan dan layanan kepada pelanggan serta hias diri.



Golongan pelatih juga perlu menjalani kursus kebersihan makanan sebagai sebahagian daripada keperluan sebelum mereka dibenar menjalani latihan lanjutan di bahagian sektor makanan dan minuman CFA, APSN.



"Yang lebih penting lagi, pelatih meraih pengalaman yang tidak ternilai yang menyediakan mereka bekerja, selain memperkasa mereka agar lebih berdikari dan mempunyai mutu kehidupan yang lebih baik," jelasnya yang menambah bahawa semua hasil jualan disalur kembali untuk digunakan bagi kos pengendalian, memperbaiki program latihan selain sedikit elauns untuk pelatih.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >