Kek cawan penawar rawan

RAMAI orang membuat kek cawan (cup cake) untuk dijual.

Tetapi bagi Cik Aisyah Jumari, kek cawan yang dibuatnya dianggap sebagai satu terapi.

"Saya mula kembali tertarik membuat kek cawan selepas putus tunang. Ia adalah satu cara bagi saya meredakan tekanan dan tidak memikirkan tentang apa yang berlaku kepada diri saya," ujar wanita 30 tahun ini.

Sebelum ini kehidupan Cik Aisyah bagai terumbang-ambing terutama semasa zaman pertunangan sekitar lima tahun lalu.

Bekas tunangnya sering mengutuk dan mengkritiknya hampir setiap hari. Malah bukan itu sahaja beliau diherdik dan dimaki setiap kali membuat kesilapan.

Penderaan begitu semakin menjadi-jadi, daripada antara mereka berdua sahaja sehingga menjadi semakin lantang di depan orang ramai.

"Saya berasa amat malu. Bayangkan saya hanya terlambat lima minit, beliau mula naik berang dan marah-marah saya. Di bandar beliau terpekik dan memanggil saya dengan kata-kata kesat," kongsinya.

Oleh kerana itu Cik Aisyah mula hilang keyakinan diri.

Beliau rasakan yang dirinya tidak dihargai, tidak disukai dan apa yang dilakukannya semuanya salah.

"Saya mula mengalami kemurungan. Bayangkan saya sepatutnya berkahwin dalam masa setahun tetapi segala persiapan belum dibincangkan lagi kerana beliau asyik memarahi saya sahaja.

"Saya juga mengesyaki beliau mempunyai temanita lain di belakang saya. Tetapi pada masa itu saya masih mahu meneruskan hubungan itu kerana saya yakin beliau akan berubah apabila kami berkahwin kelak.

"Jadi setiap kali beliau memarahi saya, saya hanya berdiam diri. Bahkan bukan dia yang pujuk saya. Saya sebaliknya yang perlu mententeramkan dia dan meminta maaf," jelasnya.

Beliau akhirnya mengambil keputusan memutuskan pertunangan itu apabila bekas tunangnya itu berkata mahu meneruskan perkahwinan tetapi dengan syarat Cik Aisyah tidak bertanya sekiranya beliau mahu keluar dengan orang lain selepas kahwin.

Peristiwa itu benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam pada Cik Aisyah.

Untuk bangkit daripada peristiwa itu, Cik Aisyah mula membuat kek cawan untuk menenangkan minda dan menganggapnya sebagai satu terapi.

Ekoran permintaan yang bertambah bagi kek cawannya, beliau mula menubuhkan Simply Sinless Cream pada 2012 untuk mengajar membuat kek cawan di rumahnya.

"Saya mula mengadakan kelas membuat kek cawan dan semasa kelas itu saya turut mengongsi pengalaman pahit saya.

"Secara tidak langsung, ia juga membuat wanita yang menghadiri kelas itu sama-sama mengongsi masalah mereka.

"Dari situ jugalah saya mula memberi kata-kata perangsang kepada mereka agar selalu bersemangat setiap kali ditimpa masalah," ujarnya yang baru membuka That BOWtique, yang menjual brooch dan reben.

Antaranya yang telah meraih manfaat daripada kelas membuat kek Cik Aisyah ialah Cik Juliana Jahayer, 41 tahun.

"Saya sibuk bekerja dan asyik pulang lewat malam pada hari biasa. Setelah belajar daripada Aisyah, saya mula menggunakan peluang pada hujung minggu untuk membuat kek cawan dengan ketiga-tiga anak saya.

"Dalam pada itu juga saya dapat menghilangkan stres dan mengeratkan lagi hubungan dengan anak-anak sambil bertanyakan perkembangan mereka di sekolah." katanya yang mempunyai anak berusia antara sembilan tahun dengan 17 tahun.

Selain itu, Cik Aisyah juga kini menjadi guru tutor sambilan kepada para pelajar sekolah rendah.

"Tidak seperti guru tutor lain, saya akan menghabiskan 15 minit pertama sesi dengan memberikan kata-kata perangsang kepada para pelajar itu. Kadang-kadang pelajar takut untuk memberitahu ibu bapa mereka sekiranya mereka dibuli di sekolah.

"Jadi daripada perbualan saya dengan mereka, saya akan mengajak mereka mengongsi masalah dengan saya dan daripada itu saya akan memberikan nasihat yang sewajarnya kepada mereka," tambahnya.

"Saya mula mengadakan kelas membuat kek cawan dan semasa kelas itu saya turut mengongsi pengalaman pahit saya.


Secara tidak langsung, ia juga membuat wanita yang menghadiri kelas itu sama-sama mengongsi masalah mereka.''

- Cik Aisyah

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.