Maldives nan indah

PEPATAH Melayu ada berbunyi ‘sekali air bah, sekali pantai berubah’.

Namun, pemandangan pantai di Maldives tetap putih bersih dan indah sepanjang masa.

Bagai irama dan lagu, Maldives dan hamparan pantainya tidak dapat dipisahkan.

Memang luar biasa indahnya pantai Maldives, terbentang menghiasi 1,200 pulau yang bertaburan saujana mata memandang.

Maldives pilihan saya dan suami sebab ianya ibarat ‘satu dalam 1,000’.

Apa tidaknya, bercuti di Maldives seolah-olah ‘terpenjara’ dalam dunia indah tersendiri. Kami terkurung menikmati keindahan pantai dan mengagumi warna-warni semula jadi.

Berbeza dengan resort biasa, Maldives menawarkan resort percutian ‘sendiri-sendiri’ di pulau. Setiap resort tiada hubungan dengan lain.

Bayangkanlah anda terdampar di pulau jauh dari dunia luar (namun tidaklah hingga digelar Survivor Maldives!) Bahkan, jauh daripada itu.

Sebelum dapat relaks, anda perlu memilih – ada 106 resort pulau pelbagai saiz, dari sepanjang 2.5 kilometer hingga sekecil 150 meter; dan daripada harga rendah hingga yang menawarkan harga lima bintang.

Selepas mempertimbang beberapa pilihan, kami memilih Resort Adaran Prestige Vadoo.

Lokasinya tidak jauh dari Male, ibu kota Maldives, dan setakat 15 minit perjalanan menaiki bot.

Pilihan kami ternyata tidak mengecewakan. Segala-galanya sempurna, baik khidmat pelanggan mahupun sekitaran.

Seperkara lagi ialah perjalanan dari Lapangan Terbang Male ke resort. Ada dua pilihan – menaiki bot laju atau pesawat. Penerbangan disediakan Trans Maldivian Airways atau Maldivian Air Taxi.

Resort Adaran bak ‘syurga’ bagi kedua-dua penyelam yang mahu cuba- cuba dan veteran. Keindahan laut jadi santapan mata sepanjang masa.

Di darat, taman indah, kolam renang dan spa istimewa menjadikan percutian kami sangat selesa.

Pembantu kami, Jinns, begitu tekun dan rajin.

Ringkasnya, Resort Adaran cukup sempurna bagi pasangan berbulan madu atau mahu percutian romantik.

Oh ya, jika bosan, anda boleh ‘keluar kota’ sambil melihat kampung nelayan atau teroka Male. Kami pun tidak melepaskan peluang itu.

MENEROKA MALE

Warga Maldives kebanyakannya Muslim Sunni. Budaya mereka memiliki pengaruh India Selatan, Sinhala dan Arab.

Hujung minggu Male ialah Jumaat dan Sabtu. Bank dan pejabat kerajaan tutup pada hari-hari tersebut.

Di Male, kami berpeluang melawat Masjid Agung Jumaat dan Pusat Islam. Kubah keemasan masjid yang indah itu menghiasi angkasa dan seolah-olah menjadi simbol bandar itu.

Masjid Agung Jumaat dirasmikan pada 1984 dan didirikan dengan bantuan negara-negara Teluk, Pakistan, Brunei dan Malaysia.

Antara keistimewaan Masjid Agung Jumaat ialah bangunannya tiada hiasan. Dibina dengan marmar putih, ia masjid terbesar Maldives.

Ruang solatnya boleh menempatkan 5,000 orang. Ukiran pintu, permaidani dan lampu tergantungnya memang cantik. Pusat Islam juga mempunyai dewan persidangan, kutubkhanah dan bilik darjah.

PASAR IKAN

Satu lagi tarikan di Male ialah pasar ikan. Ia sentiasa sesak. Gerai di sini menawarkan 1,001 macam barangan.

Di sinilah ‘dhoni’ (bot) dari kawasan lain memunggah keluar ikan kering, buah-buahan segar dan sayur-sayuran dari atol (‘atoll’ atau pulau yang dikelilingi batu karang).

Waktu sibuk pasar ialah tengah hari apabila nelayan pulang dengan hasil tangkapan. Nasib kami baik kerana kami berada di sana pada waktu sibuk.

Kami lihat ikan, yang kebanyakannya tuna atau ikan tongkol, dibawa ke pasar lalu diletakkan di lantai. Sebaik saja ikan ditimbun, penduduk terus membeli.

Terletak hanya beberapa blok dari pasar ikan Male pula ialah pasar basah biasa. Ia mempunyai gerai-gerai kecil.

Di sini tidak begitu sibuk dan menawarkan pelbagai barang dapur, termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

Selepas meluangkan masa setengah hari di Male, kami pulang ke resort menaiki ‘dhoni’.

‘Dhoni’ merupakan bot paling tua di Maldives. Pelayaran Dhoni memberi kami peluang menatap panorama indah pulau-pulau Maldives.

Keindahan angkasa yang dihiasi awan dan kebiruan air laut membuat kami terlupa di mana kami berada buat seketika.

Makanan Maldives ialah ikan (‘mas’) dan tuna (‘kandu mas’).

Gaya masakan pula ada pengaruh Sri Lanka dan Selatan India, terutama Kerala. Lauk-pauknya biasanya pedas dan bersantan, tetapi kurang sayur-sayuran.

Kami mencuba ‘mas huni’, iaitu ikan panggang disiat-siat dan dibubuh santan dan bawang. Hidangan itu biasa dijadikan sarapan di Maldives.

Maldives adalah negeri paling kecil di Asia dan juga negara yang berada di paras paling rendah di muka bumi.

Menyedihkan, Maldives boleh ‘hilang’ jika paras air laut terus naik. Kunjungilah sebelum terlambat.

  • Penulis kakitangan awam.

Singapore Airlines (SIA) dan Tiger Airways menyediakan penerbangan langsung ke Lapangan Terbang Ibrahim Nasir, Male. Baru-baru-baru ini, SilkAir turut mengikut jejak mereka. Penerbangan empat kali seminggu dari Singapura – pada Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis – menggunakan pesawat jenis Airbus A320. Khidmat baru itu menyokong penerbangan harian SIA ke Male. Ini bermakna SilkAir dan SIA menawarkan penerbangan dua kali sehari antara Singapura dan Male.

Lapangan Terbang Ibrahim Nasir merupakan lapangan terbang antarabangsa utama Maldives dan terletak di Pulau Hulhule, atol utara. Penerbangan dari Singapura mengambil masa kira-kira empat jam.


Kirimkan pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi? Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.

Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg.

Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan.

Gambar pula mesti dalam format .jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
7:00
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.