DARAT

Minah Motor ghairah teroka bumi Kanggaru

NAK tunggang kuda atau kenderaan segala rupa bumi ('all-terrain vehicle') yang singkatannya dikenali sebagai ATV?

Itulah soalan yang bermain di minda ketika ditanya wakil badan penggalak pelancongan, Tourism and Events Queensland, yang mengundang saya ke Cairns baru-baru ini.

Kebimbangan saya ialah kalaulah saya ternaik kuda 'kepala angin' yang tidak dengar kata atau tidak makan ajar, bukankah ia menakutkan?

Puas saya dengar cerita beberapa teman yang bertarung dengan nyawa gara-gara si kuda gila yang tiba-tiba bergerak pantas sehingga mereka jatuh tersembam ke bumi!

Ada juga teman yang pernah menaiki kuda pemalas yang tak mahu bergerak selepas kenyang makan tengah hari!

Justeru, pilihan saya sudah tentunya ATV sewaktu ke pusat aktiviti Blazing Saddles di Queensland.

Bagaimanapun, sedang teman media lain menunggang kuda sambil menikmati pemandangan kolam yang sarat dengan angsa dan teratai, saya pula bak minah motor ekstrem!

Saya perlu melonjakkan kenderaan berat ini di atas timbunan pasir dan menyusuri liku-liku litaran berdebu.

Dalam keghairahan saya, kepala paip pun saya langgar!

Kalau saya biasanya terpaku dengan keberanian adik-adik yang berbasikal nekad, kali ini saya pula yang perlu berselawat dalam hati kerana takut tersasar di litaran ATV!

Apabila dicabar melintasi lorong sempit berhampiran tanaman tebu di situ, cubaannya semakin menjadi-jadi.

Dalam hati berkata: "Apabila dah pandai kawal brek ATV, cubaan lebih besar pula menanti bagaikan saya ni si 'Biker Scout' dalam filem Return of the Jedi!

Bayangkan saya terpaksa mengelak daun tebu yang tajam daripada mencalarkan wajah. Tebu yang ada di mana-mana pun perlu dielak walaupun satu 'menyebat' tulang buku jari saya. Entah bagaimana, pemecut ATV ditekan kuat. Apa lagi? Tersasarlah ATV sampai terbalik dibuatnya, dengan saya-saya sekali terjatuh bak nangka busuk!

Selepas terjatuh dan teman-teman lain pula sudah jauh meninggalkan, terpinga-pinga saya mencari jalan keluar daripada kebun tebu tu! Walau nasib macam kentang, pengalaman ini payah dilupakan. Bukan selalu jadi Minah ATV. Lainlah, kalau saya nak jadi Hang Kebun dan bercucuk tanam di Australia sambil menunggang ATV.


Kirimkan pengalaman melancong anda

ANDA baru pulang mengembara atau melancong dan mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi? Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.

Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana kepada pengelola ruangan Kembara GAH menerusi e-mel bhgah@sph.com.sg.

Tulisan anda sebaiknya mengandungi antara 550 dan 600 perkataan.

Gambar pula mesti dalam format jpg dengan resolusi sekurang-kurangnya 300 dpi dan disertakan sekali penerangan (kapsyen) bagi setiap gambar.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 38
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.