Rafaat bangkit dari 'rehat', hargai sokongan kawan

Tersentak dengan teguran teman, seniman berpengaruh ini susun semula kehidupan dengan lebih baik dan bermakna

DALAM melayani kesibukan dan pelbagai tuntutan hidup, manusia sering terlupa berhenti dan merenung kembali apa telah dilakukan selama ini.

Berhenti untuk berehat.

Berehat untuk memecahkan putaran hidup.

Berehat demi menyuntik kesegaran sebagai pedoman hari muka.

Keperluan untuk berehat yang tidak pernah difikirkan oleh seniman berpengaruh, Rafaat Haji Hamzah, inilah yang telah menyentaknya ketika berada di penjara akibat penyalahgunaan dadah - kesalahan yang memaksanya "berehat" selama setahun di balik jeriji di penjara Changi.

KEHIDUPAN

Kelmarin, tepat setahun Rafaat, 50 tahun, bebas daripada penjara.

Dalam tempoh setahun ini, Rafaat akui beliau melalui proses kehidupan yang lebih tenang biarpun beliau tetap berhadapan dengan beberapa isu.

"Saya melalui satu tahun yang sangat menarik. Saya tidak meletakkan sebarang harapan selepas dibebaskan. Tapi saya dapat selesaikan isu rumah tangga, masih mempunyai ramai kawan dan alhamdullilah, rezeki pendapatan tetap ada biarpun saya tak ada pekerjaan tetap," kata Rafaat dalam perbualan eksklusif dengan Berita Minggu.

Mengimbas kembali detik beliau diberkas di rumah dan kemudian ditahan selepas ujian air kencing didapati positif, Rafaat, bapa lima anak (tiga daripada perkahwinan pertama dan dua daripada perkahwinan kedua) mengakui mulanya merasakan kehidupannya hancur musnah.

Apatah lagi beliau didapati tidak layak mengikuti program pemulihan di luar penjara (seperti tagging dan rumah peralihan) selepas enam bulan kerana keadaan tertentu - menyebakan beliau terpaksa menghabiskan setahun di penjara.

"Perasaan paling teruk pada ketika itu, saya rasa seperti dicerobohi... habis semua kehidupan. Saya mengambil masa yang agak lama untuk menerima kenyataan... sebab saya mempunyai isu dan kerja yang perlu diselesaikan," ujar seniman yang mempunyai ijazah Seni Halus daripada Royal Melbourne Institute of Technology.

Antara isu yang dimaksukan ialah rumah tangga keduanya yang goyah. Selain itu, beliau seharusnya berangkat ke New York untuk rakaman program masyarakat Islam di Amerika Syarikat bagi siaran stesen Malaysia. Beliau juga seharusnya mengarahkan teater Floods of Alibis dengan Matahari Teater.

Namun beliau melihat hikmah di sebalik penahanan selama setahun. Beliau menggunakan masa itu untuk reset aturan hidupnya.

"Tiba-tiba saya mendapati saya mempunyai terlalu banyak masa. Saya tak mahu tenggelam dalam kemurungan dengan masa yang lama itu. Justeru saya rancang baik- baik jadual saya memastikan ia digunakan sebaik-baiknya," tambah pelakon yang pernah tiga kali menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Pesta Perdana (1999, 2007 dan 2011).

TEMAN

Antara sumbangan besar yang menyuntik semangatnya ketika di dalam penjara termasuk kunjungan rakan-rakan yang menziarahi beliau, termasuk penyanyi, pelakon dan pengarah.

"Benda-benda kecil yang orang tak nampak banyak membantu. Orang 'di dalam' selalu ternanti-nantikan lawatan tetamu atau kiriman surat. Ia menjadi satu hiburan besar," kongsi pelakon yang turut mesra dengan panggilan Chip Paat.

Salah satu sesi lawatan yang amat meninggalkan kesan dalam dirinya ialah kunjungan pelakon Suhailla Salam, yang dikenalinya selama 16 tahun dan banyak terlibat dalam drama arahannya.

"Suhailla ni... orang yang kenal dia mesti tahu dia cukup pandai sembunyikan emosinya. Tetapi masa jumpa saya, Suhailla menangis. Kemudian dia kata, Paat.. you need to rest.

"Dia kata, saya tak perlu bimbang kerana semuanya akan O.K. Dia kata, we all still love you, the industry loves you. What you need to do now is to rest.

"Selama kenal saya, dia tak pernah tengok saya berehat. Kata-kata itu, sangat menyentak saya kerana memang benar... saya perlukan rehat. Kehidupan saya selama ini terlalu macam-macam. Rehat bukan bermakna melancong luar negeri.. tetapi berehat untuk hentikan seketika putaran hidup dan mulakan semula dengan cara yang lebih tersusun dan bermakna," ujarnya yang telah berlakon lebih 45 teater, lebih 40 drama televisyen dan mengarah atau menerbitkan lebih 30 produksi.

Beliau antara lain menggunakan masa itu dengan banyak membaca Al-Quran, lengkap dengan tafsirannya sekali sehingga khatam sebanyak lapan kali, selesai membaca 54 novel dan puluhan majalah.

Rutin membaca Al-Quran dan kemampuan mengawal ketenangan menjadi darah daging sehingga bagi Rafaat ia menjadi zikir yang bersatu dengan nafasnya.

"Bila dah tenang, biarpun isu peribadi masih ada, perasaan marah hilang dan hanya tinggal sedikit kekecewaan, tetapi saya reda," ujarnya, merujuk kepada perkahwinan kedua yang berakhir dengan perceraian.

Apabila akhirnya beliau bebas melangkah keluar, Rafaat disambut seorang rakan baiknya, Brian, yang juga menyediakan sebuah bilik di rumah sebagai penginapan sementara. Kini beliau menyewa rumah lain bersama dua sahabat rapatnya.

Ketika beliau membuat sapaan dan memberi salam untuk pertama kali kepada rakan-rakan di Facebook. Gembira tak terkira dengan sambut salam rakan-rakan yang merinduinya.

"Daripada situ, saya tahu siapa yang tunggu saya, cari saya dan masih mahu berkawan dengan saya," ujarnya.

Namun beliau masih mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" kerana tidak pasti keadaan sebenar di luar.

Ketika itu juga, Ramadan menjelang dan beliau setiap hari berbuka puasa dan bertarawih dari satu masjid ke satu masjid.

Dugaan timbul apabila rakan baiknya, pelakon Allahyarham Ashmi Roslan, meninggal dunia seminggu selepas serangan jantung pada usia 34 tahun. Ashmi beberapa kali berlakon dalam drama arahan atau tulisan Rafaat termasuk Satu Raya Tiga Cinta.

"Saya sedih, serba salah... nak pergi melawat ke tidak. Ada juga kawa-kawan tawarkan untuk jemput saya melawat bersama, tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak pergi kerana menghormati Ashmi. Saya tak mahu kawan-kawan ghairah jumpa saya sedangkan kita perlu beri penghormatan kepada Ashmi," ujarnya.

SOKONGAN

Seminggu sekali beliau menghabiskan masa dengan anak-anaknya di pelbagai lokasi dengan pelbagai aktiviti termasuk berkelah.

Satu perkara yang agak mengejutkan beliau ialah sokongan kawan-kawan yang memahami keadaannya yang melalui fasa baru dalam hidupnya.

"Saya terima banyak sumbangan wang. Ada daripada kawan yang saya tak sangka- sangka mahu tolong saya.. Bila saya tanya kenapa beri saya duit banyak-banyak, dia kata saya dah beri lebih banyak kepadanya sebelum ini. Saya sendiri pun tak ingat apa yang saya dah beri kepadanya.

"Kemudian saya mula terima tawaran daripada televisyen sebagai penulis, pelakon dan Berita Harian untuk acara Malam Sastera. Saya terharu kerana orang masih mempercayai saya," ujar yang turut muncul dalam siri drama Bunga Tanjung di saluran Suria.

Beliau juga bakal menghasilkan skrip untuk drama bersiri bagi peserta Anugerah Skrin tidak lama lagi.

Ditanya apakah nilai pengajaran yang telah diterima sepanjang episod kehidupa baru ini, Rafaat merenung lama sebelum menjawab.

"Kita selalu lupa berehat. Konsep rehat bukan lepak tetapi berhenti seketika. Renung dan mulakan semula dengan lebih baik.

"Saya juga bersyukur kerana di sebalik mulut saya yang selalu celupar, saya telah menjadi kawan, abang dan bapa kepada ramai orang. Ini semua adalah pelaburan yang saya tak sedari. Justeru apabila kita bermasalah, semua ini datang balik.

"Dan dalam kita berkawan, kita selalunya bersikap pilih kasih. Nasihat saya.. janganlah meremehkan mana-mana kawan. Kadangkala, kawan yang kita remehkan itulah yang pertama datang menolong atau paling ikhlas menolong.

"Pengajarannya, berbaik-baik dengan semua orang."

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 57
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.