Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

'Rumah Filem' bentang evolusi filem Melayu sebelum merdeka

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Rumah Filem' bentang evolusi filem Melayu sebelum merdeka

Jan 14, 2018 | 05:30 AM



Minat mereka sebagai seniman bukan sahaja terletak pada menghasilkan karya seni yang cantik dipandang mata. Lebih daripada itu, dua penggiat seni muda ini gemar mengkaji sejarah Singapura dan budaya Nusantara termasuk adat istiadat Melayu yang penuh lingkaran kisah tersendiri. Sempena Minggu Seni Singapura (SAW) yang bermula Rabu ini, BERITA MINGGU memaparkan kisah di sebalik ciptaan dua arca gah yang kaya dengan unsur seni bina kemelayuan. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



KAKI seniman muda, Encik Khairulddin Wahab, pernah melangkah ke London bagi mengkaji sejarah era penjajahan Singapura sewaktu beliau masih menuntut di Maktab Seni Lasalle.



Dengan Geran Kembara Winston Oh yang diterima bagi menjalankan kajian terperinci yang membawa kepada penghasilan kerja seni, beliau meninjau kisah Bapa Singapura Moden, Sir Stamford Raffles.



Encik Khairulddin, kini 27 tahun, telah ke kawasan Westminster Abbey bagi merakam gambar arca Raffles yang sedang duduk dengan jubahnya.



Dua lukisan dan beberapa foto dirinya berbaju kurung dalam suasana landskap Eropah dijadikan bahan pameran sekembalinya ke Singapura.



Minat terhadap sejarah itu berterusan malah membantunya mencorak karya seni yang diharap dapat membuka minda ramai tentang lipatan sejarah di negara ini.



Sempena Minggu Seni Singapura (SAW) 2018, beliau malah ditugaskan menghasilkan karya seni pemasangan yang gah di plaza bangunan Perpustakaan Negara sekitar Victoria Street.



Karya tersebut yang dipanggil Rumah Filem cukup unik dan menjadi sebahagian daripada acara SAW anjuran Arkib Filem Asia (AFA), State of Motion 2018: Sejarah-ku.



SAW adalah hasil kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).



Ia memperkukuh kedudukan Singapura sebagai destinasi seni terulung Asia.



State of Motion 2018: Sejarah-ku pula dilancarkan Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Keselamatan Siber, kelmarin.



Ketika ditemui Gah! di Perpustakaan Negara baru-baru ini, Encik Khairulddin, yang memiliki ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam Seni Halus, berkata:



"Sejarah yang merakam banyak kenangan silam adalah sesuatu yang dekat di hati saya.



"Kajian dan kerja seni saya biasanya berlegar dalam dunia politik perlambangan visual dan falsafah fotografi.



"Saya teruja dengan projek baru menghasilkan Rumah Filem itu kerana inilah kali pertama saya berpeluang mewujudkan kerja seni dengan unsur seni bina Melayu.



"Sebelum ini, saya setakat menghasilkan lukisan. Namun, 20 karya lukisan saya yang menceritakan evolusi dunia perfileman Melayu sewaktu tempoh sebelum kemerdekaan tetap digantung secara berlapis."



Menurutnya lagi, Rumah Filem itu mengingatkan ramai tentang replika rumah kampung panjang dalam filem seperti Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok.



Setiap lukisan digantung dengan imej yang beredar terang hingga gelap persis di dalam sebuah terowong angin.



Ia juga sebagai lambang kegemilangan dunia perfileman Melayu yang akhirnya malap dengan tertutupnya studio Shaw Malay Film Productions yang banyak menghasilkan filem P. Ramlee kesukaan ramai.



"Saya banyak belajar tentang konsep ruang dan juga interaktif sesebuah karya seni.



"Kalau dahulu saya setakat tertawa atau terkesan dengan bermacammacam filem Melayu lama P. Ramlee yang kaya dengan pesanan sosial, kini saya sedikit sebanyak tahu tentang sejarah pembikinan filem Melayu.



"Antara filem Melayu pertama yang sudah hilang daripada koleksi arkib dan tiada salinan foto adegan filem ialah Singapura Di Waktu Malam.



"Saya hanya ketemu satu sahaja foto filem itu daripada keratan suratkhabar lama," kongsinya.



Mengenai State of Motion 2018: Sejarah-ku, beliau yang bertugas sebagai penulis iklan bebas, berkata:



"Kegiatan ini amat menarik. Kurator pameran, Tengku Kamiliah Tengku Bahdar, mencari monumen sebagai lambang era keemasan filem Melayu.



"Rumah Filem ini adalah struktur 'kampung Melayu' yang merumuskan perjuangan karyawan filem sehingga ke detik akhirnya.



"Ia sejajar dengan minat saya terhadap filem dan fotografi. Harapan saya dengan adanya usaha menyatukan penggiat seni menerusi kegiatan membina ini, persada seni tempatan akan lebih maju."




RAIKAN FILEM MELAYU SILAM



Filem dijadikan bak arkib yang merakam sejarah sosial dan wacana terpendam khususnya sewaktu suasana di sesebuah negara kacau-bilau bahkan memerlukan perubahan.



State of Motion 2018: Sejarah-ku meneroka filem sebagai wadah tercoraknya budaya dan ideologi sepanjang sedekad sewaktu era prakemerdekaan Singapura.



Inilah acara Minggu Seni Singapura (SAW) anjuran Arkib Filem Asia (AFA) yang menghidupkan semula cebisan kisah silam Singapura menerusi tinjauan beberapa filem dalam bahasa Melayu.



Filem itu merupakan hasil penerbitan Shaw Malay Film Productions Ltd yang sudah terkubur kini.



State of Motion 2018: Sejarah-ku akan dipenuhi dengan bermacam-macam acara daripada pameran, program jelajah lokasi filem dan jelajah seni di luar pesisir pantai.



Dalam meninjau semula filem silam, pengunjung acara ini diajak mengimbas semula cara idea dan wacana disampaikan dalam karya seni ini. Apakah ia masih relevan dalam konteks masa kini?



Jelajah lokasi filem dikendalikan pada 20, 21 dan 28 Januari manakala jelajah filem di luar pesisir pantai pula berlangsung pada 27 Januari.



Setiap Rabu dan Ahad, tayangan filem lama akan diadakan di Taman Warisan Melayu mulai 17 Januari ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >