Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Satukan jiwa seni anak Melayu S'pura di United Kingdom

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Satukan jiwa seni anak Melayu S'pura di United Kingdom

Hidup mereka diselubungi cinta terhadap seni tari, muzik dan teater. Meskipun jauh di London, sekumpulan anak Melayu Singapura berusaha memartabatkan seni Melayu agar dikenali di peringkat antarabangsa. Mereka memajukan kolektif seni dipanggil The Bhumi Collective. Persembahan bertajuk 'Bhumi' yang menyatukan tarian dan muzik tradisional Melayu bersama unsur kontemporari itu meneroka konsep identiti dalam sekitaran berbilang budaya dan negara. Ia akan dipentaskan di Pesta Pinggiran Edinburgh, pesta seni terbesar dunia dengan lebih 3,000 persembahan setiap tahun. Siapakah mereka? HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.
Jul 24, 2016 | 05:30 AM



JAUH perjalanan, luas pemandangan. Namun ia tidak bererti identitinya sebagai anak Melayu langsung luput ditelan penyejagatan.



Kaki Encik Muhammad Noramin Mohamed Farid sudah pun melangkah ke universiti sekitar Norway, Perancis, Hungary dan United Kingdom bagi mengkaji ilmu antropologi tarian.



Sungguhpun begitu, jiwa Melayunya tetap menebal sehingga timbul idea membangun kolektif seni The Bhumi baru-baru ini.



Kolektif tersebut menyatukan anak Melayu Singapura di United Kingdom yang menelaah seni muzik, teater dan tarian kontemporari bagi satu persembahan gah, Bhumi bagi Pesta Pinggiran Edinburgh, pertengahan bulan depan.



Turut dibantu beberapa siswa Singapura bukan Melayu dan anak watan United Kingdom, taridra bertajuk Bhumi itu menyatukan tarian dan muzik tradisional Melayu dengan ciri-ciri kontemporari.



Dipentaskan di Upper Theatre di Edinburgh, Scotland, persembahan 45 minit dari 15 hingga 20 Ogos dan 22 hingga 27 Ogos itu meneroka konsep identiti dalam sekitaran berbilang budaya dan negara.



Ketika dihubungi Gah! menerusi Facebook, Encik Muhammad Noramin, 30 tahun, yang baru tamat pengajian dua tahun Sarjana dalam Tarian hasil tajaan Biasiswa Erasmus Mundus pemberian Kesatuan Eropah (EU), berkata:



"Saya dan rakan saya, Encik Mohamad Shaifulbahri Sawaluddin, yang menceburi bidang teater ingin mengundang seniman Singapura di United Kingdom yang mengikuti pengajian seni muzik, teater dan tarian kontemporari agar menyemarakkan lagi persada seni meskipun kami di rantauan.



"Idea awal tercetus apabila saya selaku penari tradisional Melayu yang sedang melanjutkan pengajian dalam antropologi tarian di Eropah tertanya-tanya tentang kewujudan saya sebagai pemuda yang sudah terpengaruh oleh penyejagatan.



"Di manakah kedudukan tarian tradisi hari ini? Apakah pula tanggungjawab saya sebagai penggiat seni tradisi yang juga warga global?



"Konsep yang saya teroka fokus pada identiti Melayu Singapura dalam konteks kepesatan negara kosmopolitan. Sebagai pengarah kreatif kolektif The Bhumi, saya mengambil peluang berkongsi pengalaman hidup saya sebagai anak Melayu.



"Seronok mengenalkan tarian Melayu kepada seniman bangsa asing. Melihat mereka berlenggang dan juga bersilat membuatkan saya terharu dan tersenyum."



Encik Muhammad Noramin adalah penerima Biasiswa Erasmus Mundus dari Singapura yang pertama dan sekali gus anak Melayu pertama yang diberikan biasiswa bernilai 48,000 euro ($81,212) oleh EU.



Pemilihan dibuat berdasarkan portfolio, usulan pensyarah lamanya di Universiti Queensland dan juga mutu tesis sarjana mudanya mengenai hubungan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara penjajah kulit putih.



Sepanjang dua tahun pengajian, pengasas kumpulan tarian anak muda, Dian Dancers, itu telah ke Universiti Sains dan Teknologi Norway, Universiti Roehampton di London, Universitas Scientarium Szeged di Hungary dan Universiti Blaise Pascal di Perancis.



Kohort pelajar lain dalam kursusnya berasal dari Uganda, Ghana, Estonia, Serbia, Italy, Peru, Romania, Turkey, China, India, Perancis, Brazil, Amerika, Colombia dan Eritrea.



"Saya teruja melanjutkan pengajian sarjana dalam antropologi tarian kerana saya ingin menyatukan minat mendalam saya dalam tarian dan menjalankan kajian.



"Ijazah sarjana ini unik kerana ia mengiktiraf nilai tarian tradisional atau tarian rakyat dan kepentingannya dalam masyarakat serta bagaimana penari tarian sebegini menjadi insan penggerak budaya.



"Banyak ijazah tarian di serata dunia fokus pada tarian balet dan kontemporari Barat. Dengan tamatnya pengajian saya, ia juga satu pencapaian bagi dunia tarian Melayu di Singapura yang wajar menjadi bahan kajian dan intelek dalam dunia Barat," ujarnya.



Encik Muhammad Noramin, yang menghasilkan tesis bertajuk Serampang Dua Belas: Discourses of Identity In The Contemporary Practice of A Malay Courtship Dance In Sumatra, menjalankan kajian etnografi kerja luar di Pekanbaru dan Medan, Indonesia. Ia menyelidiki bagaimana penggiat tarian Melayu jenis ini memahami kegunaannya dalam konteks masa kini dan Indonesia moden.



Mengulas mengenai kenangan manisnya menimba ilmu, beliau berkata:



"Saya rasa terdorong dibimbing Profesor Emeritus Egil Bakka di Norway. Katanya, pengkaji tarian akan rasa kesepian kerana lebih ramai penggiat tari lebih gemar menari daripada mengkaji. Tapi beliau memberi jaminan ia menarik kerana saya akan menyumbang pada dokumentasi, pengarkiban dan penyampaian ilmu kepada generasi akan datang."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >